top of page
nabalunews

Insentif kewangan kepada usahawan muda wanita




1 Disember 2024

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyediakan pelbagai insentif kewangan kepada usahawan muda khususnya golongan wanita di Sabah yang berminat menjadi usahawan dan membuka perniagaan sendiri bagi menjana pendapatan.


Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata inisiatif kerajaan itu sebagai dorongan dan sokongan kepada golongan muda untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.


Katanya, dengan mengambil kira minat golongan wanita muda terhadap bidang perniagaan yang begitu tinggi, kerajaan mengambil usaha menyediakan insentif menerusi Belanjawan 2025.


“Semasa saya membentangkan Belanjawan 2025 pada 15 November lalu, selain insentif kewangan dan bantuan kewangan yang ditujukan kepada golongan memerlukan, kerajaan turut memberi insentif khusus bantuan modal kepada usahawan wanita muda.


“Kita pilih ini kerana kita dapati bahawa minat di kalangan wanita muda untuk berniaga itu tinggi tetapi yang menjadi kekangan ialah modal.


“Jadi kita melancarkan satu inisiatif untuk mengeluarkan dana yang akan dikendalikan bersama oleh Perbadanan Pinjaman Sabah dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) untuk mengurus dana ini khusus untuk peniaga baharu wanita muda,” katanya seperti dilaporkan Info X.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan stokis Bawal Ratu Kota Kinabalu di Kompleks Karamunsing, di sini pada Sabtu.


Hadir sama pemilik Stokis Bawal Ratu Kota Kinabalu, Eva Olivia Johnius.


Masidi berkata, pihaknya yakin inisiatif itu dapat memberi impak besar kepada golongan usahawan wanita yang ketika ini antara paling aktif berniaga di negeri ini.


Sementara itu, Masidi mengalu-alukan pembukaan premis Bawal Ratu Kota Kinabalu yang diusahakan seorang wanita muda.


“Ia sebenarnya mencerminkan keinginan kita untuk sama-sama mencari peluang menjana pendapatan dari segi penjualan tudung.


“Sepertimana kita tahu, penjualan tudung di Semenanjung itu sudah sesuatu yang cukup lumayan dan ada yang dijual, saya difahamkan, sehingga berpuluh ribu sehelai. Ini menunjukkan pasaran itu ada.


“Apa yang dibuat ini ialah kombinasi antara pemilik jenama ini dan juga stokis kita membawa jenama ini di Kota Kinabalu. Daripada apa yang saya terima dan saya dengar, sambutannya cukup baik,” katanya.


Sementara itu, Eva berkata Bawal Ratu Kota Kinabalu mula beroperasi sejak 2019 dan menjadi satu-satunya stokis Bawal Ratu di pantai barat Sabah.


Katanya, beliau bermula dengan sebuah kedai yang kecil sehinggalah kini memiliki ruang yang lebih luas dan selesa dengan menyediakan koleksi Bawal Ratu dihiasi batu tulen Swarovski dari harga serendah RM89.


“Tudung Bawal Ratu kami dijamin berkualiti, mudah untuk dibentuk, menjadikannya pilihan terbaik untuk semua peringkat umur. Sentuhan eksklusif yang ditampilkan pasti mampu menepati citarasa pelbagai pihak,” katanya.


Katanya, pada tahun lalu, Bawal Ratu Kota Kinabalu memperkenalkan rekaan bawal eksklusif yang diinspirasikan daripada motif pakaian tradisi salah satu etnik di Sabah iaitu Dusun Labuk sempena Pesta Kaamatan.


Rekaan Bawal Ratu yang bermotifkan sulaman Sabung Labuk itu, katanya mendapat sambutan hangat dan menarik perhatian media tempatan dan nasional selain viral di media sosial termasuk Facebook.


“Melalui kejayaan ini, kami kini sedang merancang untuk menghasilkan lebih banyak rekaan istimewa yang berinspirasikan motif pakaian tradisi daripada pelbagai komuniti Kadazan Dusun Murut (KDM) di negeri ini.


“Di Sabah, terdapat lebih daripada 30 etnik dan lebih 100 sub etnik dengan masing-masing etnik ini mempunyai keunikan yang tersendiri,” katanya.

Comments


bottom of page