INSKEN buka pejabat cawangan pertama di Sabah
29 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) kini membuka pejabat cawangan yang pertama di Sabah, di Lot 10, Wisma IDS Penampang.
Pejabat baharu itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, hari ini.
Pejabat cawangan INSKEN yang dikenali sebagai Kampus INSKEN (Sabah) ini adalah antara usaha untuk menarik lebih ramai usahawan menyertai program latihan dan bimbingan anjuran INSKEN.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin, usahawan Sabah sentiasa memberi sokongan padu kepada INSKEN.
“Ini merupakan langkah yang tepat agar usahawan Sabah mendapat akses lebih mudah dan cepat untuk bertemu, berkomunikasi serta mendapatkan bantuan latihan dan bimbingan daripada INSKEN.
“Selain ruangan pejabat, ia juga dilengkapi dengan bilik latihan yang boleh memuatkan 30 peserta bagi setiap program,” katanya.
Kampus INSKEN Sabah akan beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
Selain secara dalam talian, usahawan di Sabah juga digalakkan untuk ke Kampus INSKEN (Sabah) yang terletak di Lot 10, Wisma IDS, Penampang untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program latihan dan bimbingan anjuran INSKEN.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasmi, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad dan ketua-ketua agensi kementerian.
Maklumat lanjut, usahawan boleh hubungi Kampus INSKEN (Sabah) di talian 088-738445.
Comentarios