Inspirasi Seorang Pemimpin
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

15 April 2025
Terinspirasi dengan kepimpinan Datuk Ewon Benedick yang begitu dekat dengan rakyat. Itulah antara sebab mengapa saya memilih UPKO sebagai platform perjuangan untuk Negeri Sabah dan Negara Malaysia amnya.
Apabila saya membuat keputusan untuk bersama UPKO pada September 2023 lalu, ia bukan kerana dijanjikan apa-apa jawatan. Sebaliknya, saya memilih untuk menyertai parti ini kerana saya percaya inilah pemimpin yang saya perlukan kerana beliau seorang yang benar-benar 'grounded', merendah diri dan ikhlas dalam perjuangannya. Hari ini, terbukti pilihan yang diambil tidak silap.
Sepanjang mengikuti perkembangannya, saya sering mendengar sendiri bagaimana beliau tanpa segan silu berkongsi asal-usulnya anak kepada seorang ibu tunggal yang menyara keluarga dengan berniaga di Tamu.
Apa yang jelas, kisah hidup inilah yang membentuk pendekatan dan keprihatinannya terhadap keperluan dan nasib rakyat.
Apabila diberi mandat oleh rakyat, beliau tidak mensia-siakan peluang itu, malah bertekad untuk membantu masyarakat luar bandar agar mereka juga dapat menikmati kemudahan yang lebih baik dalam mencari rezeki dan membesarkan anak-anak.
Satu contoh yang amat menyentuh hati saya ialah semasa beliau melawat Tamu Desa di kampung saya sendiri pada 11 April yang lalu.
Walaupun itu bukan program rasmi sebagai seorang menteri persekutuan, beliau tetap meluangkan masa meninjau pelaksanaan pembinaan Tamu Desa yang dibiayai melalui peruntukan KUSKOP.
Dalam lawatan ringkas itu, beliau dengan hati terbuka menyumbangkan RM5,000 bagi membeli meja lipat dan kerusi untuk para peniaga, agar mereka tidak perlu lagi duduk di lantai atau bersusah payah mengangkat peralatan dari rumah.
Apa yang lebih mengharukan, tiada permintaan rasmi dibuat oleh penduduk kampung pada ketika itu. Namun beliau tetap memberi, kerana beliau melihat, memahami dan bertindak atas keperluan rakyat.
Saya amat tersentuh dengan keprihatinan dan keikhlasan beliau. Semoga Tuhan sentiasa memberkati dan merahmati kepimpinan YB Datuk Ewon Benedick, Sabah amat memerlukan lebih ramai pemimpin seperti beliau.
Terus Cemerlang
God bless you, YB Datuk.
Suzie Salapan
Ketua CLC DUN N6 Bandau
Comments