top of page
nabalunews

Integrasi Biometana dalam sektor O&G Labuan bantu Malaysia capai matlamat ESG - Chan

4 November 2024


LABUAN: Biometana muncul sebagai bahan api alternatif dalam sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia yang mencerminkan komitmen negara terhadap kelestarian alam sekitar kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.


Menurut beliau, biometana berpotensi memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan mengawal serta mengurangkan pelepasan karbon dalam industri tenaga.


Dengan peningkatan permintaan terhadap tenaga hijau, penggunaan biometana juga dapat menggalakkan pembangunan ekonomi berasaskan tenaga boleh diperbaharui, selain membantu Malaysia mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.


“ESG telah menjadi keutamaan negara memandangkan kita berhasrat untuk mengimbangkan pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemilihan kepimpinan baharu DAP Labuan, lapor Bernama.


Menurutnya biometana adalah sumber bersih dan boleh baharu, justeru, apabila diintegrasikan dalam sektor O&G Labuan, ia boleh membantu mengurangkan jejak karbon Malaysia di samping menyokong inisiatif tenaga lestari.


“Di Labuan, sebagai pulau yang terkenal dengan operasi O&G, memperkenalkan biometana boleh menangani keperluan tenaga dan kebimbangan mengenai alam sekitar,” katanya.


Chan berkata biometana membakar lebih bersih berbanding bahan api fosil, membebaskan lebih sedikit bahan pencemar dan gas rumah hijau, seiring dengan peralihan global ke arah tenaga lebih bersih.


Berikutan negara-negara di seluruh dunia menerima guna dasar boleh baharu, Chan yakin bahawa menerusi kedudukan strategik Labuan dalam landskap tenaga Malaysia, ia boleh meneraju peralihan kepada alternatif yang lebih lestari.


Beliau berkata penerokaan biometana Labuan menandakan langkah memandang ke hadapan dalam perjalanan tenaga lestari Malaysia dan dedikasi untuk mengurangkan pelepasan karbon.


“Memandangkan sektor tenaga global yang berkembang, Labuan boleh menjadi contoh bagi kawasan lain di Malaysia, dan mempunyai potensi lebih luas dalam memajukan penyelesaian tenaga yang mematuhi ESG,” katanya.

Comments


bottom of page