top of page
nabalunews

IPT Malaysia sedia kuasai bidang kecerdasan buatan (AI)





14 Disember 2024

 

KUALA LUMPUR: Institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia kini berada pada landasan yang kukuh untuk menguasai sepenuhnya bidang kecerdasan buatan (AI) sejajar dengan keperluan dunia teknologi masa kini. 

 

Pensyarah Fakulti Perkomputeran dan Meta-Teknologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Bahbibi Rahmatullah, berkata IPT tidak menghadapi kesukaran mempelajari AI kerana pelajar di pelbagai peringkat telah menggunakan teknologi tersebut dalam kehidupan seharian. 

 

"Adakah kita mahu menjadi pengguna AI atau penghasil AI? Atau mungkin kedua-duanya sekali. Kebanyakan universiti telah bersedia dan sedang menghasilkan bakat-bakat AI yang mampu menerajui industri akan datang," katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi, semalam. 

 

Beliau menegaskan, kesedaran tentang penggunaan teknologi harian adalah langkah awal untuk memahami AI. 

 

"Apabila kita mula menggunakan peranti-peranti ini, sebenarnya kita sudah terdedah kepada AI, sama ada sedar atau tidak. 

 

"Tetapi untuk melahirkan bakat AI yang mampu menghasilkan teknologi, asas yang kuat dalam matematik dan statistik sangat penting. Ia adalah kunci untuk mencipta kaedah, teknologi, algoritma, dan inovasi dalam AI," jelasnya. 

 

Bahbibi turut menyeru kementerian terlibat untuk mempersiapkan negara menghadapi dunia digital melalui tiga tonggak utama: infrastruktur, keselamatan, dan bakat. 

 

 

Comments


bottom of page