top of page
Wartawan Nabalu News

Ismail Ayob letak jawatan dan keluar parti Warisan

7 Oct 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Mohd Ismail Hj Ayob, Ketua Wira Pusat Parti Warisan merangkap Ketua Bahagian Warisan Kinabatangan, telah mengumumkan perletakan jawatan dan keluar parti dalam satu surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung Parti Warisan, Datuk Datuk Loretto S Padua, kelmarin.


Dalam suratnya, beliau menyatakan bahawa beliau ingin memberikan ruang kepada pemimpin parti yang lain untuk memperkasa, memperkuatkan dan memberi nafas baru kepada parti.


"Selaku Ketua Wira Pusat merangkap Ketua Bahagian Warisan Kinabatangan dengan ini meletakkan kesemua jawatan dalam saya Parti serta keluar daripada parti bermula daripada surat ini diterima.


"Disebabkan saya ingin berehat sementara daripada politik dan menumpukan sepenuhnya kepada keluarga dan peniagaan saya pada masa ini," katanya.


Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Hj Apdal, Datuk Loretto S Padua, serta seluruh keluarga Parti Warisan atas ruang dan peluang yang diberikan kepada beliau sepanjang beliau berada dalam parti tersebut.


Dalam pada itu beliau juga merakamkan penghargaan beliau kepada Datuk Mohd. Aziz Hj Jamman kerana banyak memberi tunjuk ajar dalam politik dan mengangkat nama beliau sepanjang beliau berada dalam Parti Warisan.


"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak khususnya kepada seluruh keluarga besar Parti Warisan yang telah memberikan kerjasama dan sokong sepanjang saya menjadi Naib Ketua Wira Pusat Penaja (2016-2018), Timbalan Ketua Wira Pusat dan Ketua Bahagian Kinabatangan (2019-2021), ketua Wira Pusat dan ketua Bahagian Kinabatangan (2022-Kini)," kata beliau dalam suratnya.


Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Parti Warisan mengenai perkara ini.

Comments


bottom of page