Isu Batu Sumpah Keningau: Bukan ritual, hanya simbolik penghormatan.
nabalunews
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_27b96f966eea4d21abee9261c51e60ad~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_598,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_27b96f966eea4d21abee9261c51e60ad~mv2.jpg)
8 Februari 2025
Keningau: “Kunjungan singkat pemimpin Sabah ke Batu Sumpah Keningau dan melakukan simbolik hanya sebagai penghormatan serta penghayatan dan bukan ritual”
Demikian tegas Raymond Ahuar, sebagai Pengerusi Penganjur Majlis Sambutan Tahun Baru dan Rumah Terbuka Hari Natal (PH) Sabah, sebelum ini.
Menurutnya, beliau terpanggil untuk memberi pencerahan berhubung isu yang sengaja ditularkan di media sosial berkaitan lawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick ke Batu Sumpah Keningau pada 25 Januari lalu.
Katanya, wujud cubaan membakar api kebencian dalam kalangan masyarakat dan menyalahkan pihak penganjur dengan mereka-reka cerita yang kononnya program ini ada ritual dan tiada kebenaran.
“Mengenai simbolik menyiram batu, air adalah sumber kehidupan dan semua benda hidup perlukan air. Ia sebagai simbolik agar apa jua niat baik yang tercatat pada Batu Sumpah ini akan terus hidup subur dalam minda rakyat Sabah dan Malaysia.
“Melepaskan burung merpati pula sebagai simbolik kebebasan dan perberitaan tentang hajat baik yang tercatat dalam Batu Sumpah ini sampai kepada seluruh rakyat Sabah dan rakyat Malaysia umumnya.
“Sebagai makluman, program ini mempunyai kebenaran daripada Pejabat Daerah dan Muzium Warisan Keningau,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
Raymond berkata, beliau menyedari ada juga pihak yang cuba memaksa pemegang adat di daerah ini untuk mengikut telunjuk mereka.
Selain itu katanya, mereka cuba menghasut rakyat agar membenci Kerajaan Madani dengan menyerang program yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan Sabah yang menjadi tonggak kerajaan persekutuan hari ini.
“Ada pula pihak yang cuba memperbodohkan masyarakat dengan mengaitkan hujan dan banjir ketika ini dengan acara menyiram air pada Batu Sumpah. Sedangkan ramalan kaji cuaca sudah dikeluarkan sebelum acara ini dilaksana.
“Oleh itu saya mengajak semua masyarakat agar bijak dalam hal ini dan tidak terpengaruh dengan niat jahat sesetengah pihak berkaitan Batu Sumpah,” tegasnya.
Comments