Isu bekalan air dijangka selesai tahun ini- Hajiji

16 Februari 2025
TAWAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan isu bekalan air dijangka dapat diselesaikan tahun ini sebaik semua kerja-kerja penambahbaikan berjaya dilaksanakan.
Menurutnya, ia berdasarkan kepada peruntukkan yang disediakan untuk menaiktaraf dan membaiki loji air bermasalah di negeri ini.
“Begitu juga masalah paip bocor, kita akan baiki, jadi masalah air ini kita akan selesai pada tahun ini juga kerana kita ada perancangan, kita ada usaha, bukan kita cakap kosong.
“Kalau cakap kosong seperti pembangkang saya rasa itu tidak perlu kita beri perhatian. Mereka tidak boleh buat apa-apa, kita sudah beri peluang kepada mereka, tapi apa mereka buat,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Anak Merotai, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan sudah melakukan yang terbaik sepanjang empat tahun memerintah negeri Sabah dan mencapai banyak kejayaan.
Sementara itu, Hajiji dalam ucapannya turut mengumumkan kelulusan permohonan Tanah Perkampungan Iban, Merotai Besar dan Kampung Melati Burut untuk diwartakan sebagai rizab perkampungan.
Selain itu, ketua menteri mengumumkan kelulusan Pemasangan Lampu Solar Jalan Raya Besar dari Jambatan Putih hingga ke Sungai Udin, Merotai dengan peruntukan bernilai RM1.9 juta yang akan dipasang selewat-Iewatnya pada April atau Mei 2025.
Hajiji turut mengumumkan pembukaan Pekan Baharu Merotai di Kijang Point yang menempatkan 100 unit rumah dua tingkat dan 16 unit kedai yang sudah siap dibina oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) serta Perkasa Reality.
Beliau turut mengumumkan pembinaan sebuah dewan untuk penduduk Merotai dengan peruntukan RM2 juta.
Comentarios