Isu Mansuh Subsidi Minyak Masak Paket Dibincang Untuk Elak Ketirisan - Rafizi
18 November 2024
KOTA BHARU: Kerajaan sedang membincangkan isu pemansuhan subsidi minyak masak paket sebagai salah satu langkah untuk menangani masalah ketirisan kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Menurut beliau, meskipun cadangan pemansuhan ini berpotensi membantu mengurangkan ketirisan, ia juga membawa risiko tertentu kerana kerajaan membelanjakan jumlah yang besar, mencecah puluhan juta ringgit, bagi menampung subsidi minyak masak paket demi memastikan ia kekal mampu milik untuk rakyat.
Kerajaan sedang menimbang secara teliti implikasi keputusan tersebut bagi memastikan sebarang langkah yang diambil tidak membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, sambil mengekalkan keberkesanan pengurusan subsidi negara.
“Jadi perkara ini di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan isu berkenaan ada beberapa kali dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri," katanya seperti dilaporkan Bernama pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Ahad.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata ketika ini, KPDN sedang melakukan proses semakan mengenai cara terbaik untuk memberikan subsidi tanpa melibatkan ketirisan yang besar.
Rafizi berkata di peringkat Kementerian Ekonomi, pihaknya perlu menunggu pembentangan di Kabinet dan beliau berharap ada kaedah yang lebih baik.
Sebelum ini, kerajaan disaran memansuhkan minyak masak paket subsidi dan digantikan dengan bantuan kewangan kepada golongan sasar bagi menangani isu penyelewengan serta ketirisan.
Beliau juga berkata segala projek pembangunan sempadan negara melibatkan negeri sebelah utara, Sabah dan Sarawak sedang diperhalusi.
"Kita perlu membangunkan format dan model pembangunan terlebih dahulu... daripada situ, barulah kita boleh tentukan jumlah peruntukan dan bagaimana pembangunan sempadan yang akan dilaksanakan," katanya.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud bahawa cadangan pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir di Rantau Panjang-Sungai Golok memerlukan kos anggaran RM450 juta termasuk bagi pengambilan tanah.
Pada 14 November lalu, kerajaan Thailand menyambut baik cadangan Kerajaan Negeri Kelantan itu.
Gabenor Wilayah Narathiwat Trakul Thotham berkata pembinaan tembok berkenaan akan menjadi langkah penting dalam menangani pelbagai isu jenayah rentas sempadan.
Pada 5 November lalu, Kelantan merancang untuk mengusulkan kepada kerajaan Persekutuan mengenai pembinaan tembok sepanjang kira-kira 100 kilometer di sempadan negeri itu dengan Thailand dan usaha ini dianggap penting bagi menangani masalah jenayah penyeludupan serta mengurangkan risiko banjir yang berulang.
Comments