top of page
  • nabalunews

Isu Nota Diplomatik bocor : MINDEF tunggu siasatan dalaman Kementerian Luar

6 September 2024


KLUANG: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menunggu hasil siasatan dalaman Kementerian Luar mengenai isu kebocoran maklumat Nota Diplomatik daripada China baru-baru ini.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya memerlukan kesahihan berhubung status Nota Diplomatik berkenaan, lapor Buletin TV3m


“Kita tunggu daripada (Kementerian Luar)… kita perlu kesahihan dan saya percaya kita (MINDEF) nanti berpandu kepada Kementerian Luar.


“Setakat itu sahaja boleh saya beritahu, kalau tidak nanti kita memberi reaksi kepada benda yang tidak ada,” katanya ketika sidang media sempena Minggu Bersama Pencarum: Jelajah Selatan 2024 di Dewan Mahkota, Kem Mahkota Kluang, di sini hari ini.


Beliau mengulas isu kebocoran maklumat Nota Diplomatik daripada Kementerian Luar Negeri China yang dialamatkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.


Kementerian Luar melalui kenyataan sebelum ini memaklumkan sedang menjalankan siasatan dalamam dan akan membuat laporan polis berhubung isu kebocoran Nota Diplomatik berkenaan.


Nota Diplomatik bertarikh 18 Februari lalu itu diterbitkan dalam satu artikel oleh portal media Filipina pada 29 Ogos lalu.


Ia antara lain melaporkan Beijing menuntut Malaysia untuk segera menghentikan semua aktiviti cari gali minyak dan gas berhampiran Sarawak berikutan tuntutan bertindih di perairan Laut China Selatan.


Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya memberi penekanan terhadap kepentingan kerjasama antara negara ASEAN dengan negara lain dalam menjaga keamanan serta kestabilan di rantau ini khususnya di Laut China Selatan.


“ASEAN adalah pengimbang dan penyumbang kepada keamanan kestabilan dalam rantau ini… dengan kerjasama 10 negara yang ada itu kita boleh menyumbang kestabilan rantau ini,” katanya.

ความคิดเห็น


bottom of page