Isu pelarian di Sabah perlu tindakan tegas Kementerian Luar Negeri dan Kerajaan Filipina
18 November 2024
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kerajaan Filipina
mengambil tindakan tegas yang sewajarnya bagi menangani isu pelarian perang Filipina dan rakyat tidak berwarganegara di Sabah.
Menurutnya, keberadaan pelarian-pelarian itu sejak 1970-an di Sabah telah mengakibatkan pelbagai masalah sosial.
"Kita sering bercerita tentang kewujudan 280 kawasan perumahan setinggan di Sabah, kegiatan mencuri elektrik, mencuri air, serta bermacam-macam lagi.
"Bukan itu sahaja, tetapi kehadiran pelarian ini sejak lebih lima dekad lalu mengakibatkan beribu-ribu rakyat tanpa warga negara (stateless) hasil perkahwinan sesama mereka atau dengan orang tempatan.
"Saya ingin bertanya, apakah langkah-langkah diambil di peringkat KLN untuk menyelesaikan masalah keberadaan pelarian Filipina di Sabah ini yang telah berterusan sejak sekian lama?
"Adakah pihak KLN, pihak Wisma Putra berbincang dengan Kerajaan Filipina," katanya.
Madius berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat Jawatankuasa di bawah KLN.
Madius yang juga Presiden Kehormat
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, setiap kali pilihan raya di Filipina, kepimpinan di negara itu juga sering bercerita tentang hal-hal menuntut Sabah.
"Tuaran ingin bertanya, apakah kementerian pernah membawakan perkara ini untuk dibincangkan secara diplomasi di peringkat ASEAN sebagai contoh.
"Sebab kita tidak boleh berada dalam keadaan dimana ada tuntutan dari Kerajaan Filipina, dan kemudian ada lagi tuntutan Kesultanan Sulu dan sebagainya," tegas Madius.
Beliau mengambil contoh pelarian Myanmar ke Malaysia akibat perang saudara yang berlaku di negara itu sebagai satu situasi yang sama dengan kehadiran pelarian Filipina di Sabah.
"Pada Tuaran, apa yang berlaku akibat perang saudara di Myanmar sekarang ini harus kita mendapat sedikit pengajaran, lesson gained.
"Kita tidak mahu nanti hasil daripada konflik di Myanmar ini, akan wujud pelarian di mana-mana wilayah tempat di Malaysia ini atau di Semenanjung dan kemudian wujud lagi stateless seperti yang berlaku di Sabah.
"Pada ketika ini pelarian etnik Rohingya ke Malaysia sudah mencecah lebih 500,000 orang yang mana kira-kira 300,000 pelarian sudah pun didokumentasi," tambahnya
Sementara itu, dalam ucapan penggulungan, Timbalan Menteri KLN, Datuk Mohamad Alamin berkata pihaknya mengambil maklum terhadap saranan dan perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Tuaran.
"Memang kita sentiasa angkat isu-isu seumpama ini dibincangkan, mesyuarat-mesyuarat dua hala, perbincangan secara diplomatik kita angkat di antara Malaysia dan juga negara Filipina.
"Mana-mana isu yang baharu yang timbul seperti yang ada pada hari ini, kita juga akan ambil tindakan-tindakan yang perlu. Nota bantahan kita akan hantar," jelasnya.
Comments