top of page
nabalunews

Jabatan Keretapi Negeri Sabah jalankan siasatan insiden kemalangan maut




20 November 2024


KOTA KINABALU: Jabatan Keretapi Negeri Sabah menjalankan siasatan dalaman berhubung kemalangan yang menyebabkan seorang wanita maut manakala anak lelakinya berusia 11 tahun cedera parah berhampiran Kampung Petagas, Putatan pada Selasa.


Menurut kenyataan Unit Pengurusan Korporat, Jabatan Keretapi Negeri Sabah hari ini, siasatan itu akan dijalankan menerusi Badan Penyiasatan Dalaman yang telah ditubuhkan.


"Pihak Jabatan Keretapi Negeri Sabah juga telah membuat satu laporan di Balai Polis Putatan berhubung kemalangan berkenaan yang dibuat oleh pemandu lokomotif yang bertugas semasa kemalangan itu untuk tindakan dan siasatan lanjut," kata kenyataan berkenaan.


Dalam nahas itu, mangsa Lena Gabun, 41, maut manakala anak lelakinya cedera parah selepas dirempuh kereta api dari Putatan menghala ke Kota Kinabalu ketika melintas landasan di hadapan Kampung Petagas.


Jabatan itu turut memaklumkan perkhidmatan kereta api terlibat dalam insiden berkenaan adalah PU502 dari Stesen Beaufort ke Stesen Sembulan yang bertolak dari Stesen Beaufort pada 11.00 pagi dan tiba di Stesen Putatan pada 12.54 tengah hari sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu seminit kemudian.


Mengulas lanjut, semasa menghampiri kawasan lintasan rata tertutup di Sekolah Kebangsaan Petagas, pemandu lokomotif telah membunyikan hon seperti biasa dan dalam jarak sekitar 150 meter, petugas terbabit terlihat dua orang awam yang sedang cuba melintas landasan kereta api di lokasi berkenaan.


"Pemandu lokomotif membrek dengan serta-merta. Kedua-dua orang awam berkenaan tidak memberikan sebarang tindak balas segera," menurut kenyataan itu.


Jabatan itu juga berkata perkhidmatan keretapi PU502 diteruskan atas kebenaran polis pada pukul 2.40 petang dengan lebih kurang 90 penumpang dan tiada laporan kecederaan diterima.


Sementara itu, jabatan menzahirkan salam takziah dan rasa simpati terhadap keluarga mangsa terlibat dalam kemalangan itu selain sedang mengambil insiatif untuk meringankan beban mangsa dan keluarga mangsa yang terkesan.


Sementara itu polis meminta saksi kejadian agar tampil untuk memberikan maklumat bagi membantu siasatan.


Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton berkata siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati mangsa bersama anaknya dilanggar ketika melintas di landasan kereta api berkenaan.


Sammy juga meminta orang ramai agar tidak menularkan video kejadian di mana-mana platform media sosial bagi menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa.


Beliau turut menasihatkan kepada semua pengguna agar berhenti dan tidak menggunakan 'laluan tikus' di landasan kereta api bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.


Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata

pembinaan sebuah jejantas pejalan kaki melintasi landasan kereta api di Petagas disenaraikan antara projek yang dilaksanakan menerusi Belanjawan Sabah 2025.


Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.


Katanya, projek itu antara yang dilaksanakan di bawah peruntukan RM63.61 juta bagi tahun depan selain dua projek kajian berkaitan pembangunan kereta api di negeri ini.

Comments


bottom of page