top of page
  • nabalunews

Jadikan lagu patriotik untuk menyemai semangat cintakan negara

25 Ogos 2024


KOTA MARUDU: Lagu-lagu patriotik perlu terus diberikan sokongan dan penghayatan, terutamanya oleh generasi muda, bagi membangkitkan semangat cintakan tanah air.


Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda, menegaskan bahawa perasaan cintakan negara perlu dipupuk secara berterusan melalui pelbagai cara dan kaedah agar semangat jati diri dalam kalangan masyarakat tidak luntur.


“Melalui lagu-lagu patriotik, kita dapat menghayati nilai-nilai murni seperti perpaduan, keharmonian, dan semangat kebangsaan yang menjadi asas kepada pembangunan negara kita.


“Lagu-lagu ini bukan sekadar melodi dan lirik semata-mata, tetapi turut mencerminkan sejarah, budaya, dan aspirasi negara kita,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik Warga Pendidikan yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu di Pentas Padang Kota Marudu, semalam.


Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu, Datu Roslin Datu Siabok.


Redonah berkata, pertandingan nyanyian seperti ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi merupakan platform penting untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan warga pendidik dan rakyat.


“Setiap bait dan rentak lagu ini membawa kita mengimbau kembali zaman perjuangan kemerdekaan serta pengorbanan para pejuang terdahulu.


“Malah, lagu-lagu ini juga menggambarkan semangat perpaduan yang telah membentuk Malaysia seperti yang kita nikmati hari ini,” tambahnya.


Beliau turut menyatakan bahawa dengan menghayati lagu-lagu patriotik, rakyat bukan sahaja memperingati masa lalu tetapi juga menyemai harapan untuk masa depan negara yang lebih gemilang.


“Oleh itu, marilah kita jadikan pertandingan ini bukan sekadar satu persembahan, tetapi satu manifestasi komitmen kita sebagai pendidik untuk terus menyemarakkan api patriotisme dalam diri kita dan generasi akan datang.


“Saya berharap pertandingan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha kita untuk memartabatkan lagu-lagu patriotik dan seterusnya menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda,” katanya lagi.


Beliau turut menyeru agar semua pihak menghayati maksud di sebalik setiap lagu yang dinyanyikan dan bukan sekadar menonjolkan bakat nyanyian.

Comments


bottom of page