top of page

Jaket keselamatan selamatkan empat sekeluarga dari lemas

nabalunews

19 Februari 2025


LABUAN: Empat sekeluarga yang turun ke laut untuk memancing berdepan detik cemas selepas bot dinaiki karam dalam kejadian di perairan Lubok Temiang Simpang Delima Blok Pulau, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, semua mangsa yang memakai jaket keselamatan dikatakan terpaksa berpaut pada serpihan bot karam sebelum berjaya diselamatkan pihak berkuasa.


Semua mangsa berusia lingkungan 45 hingga 75 tahun berjaya diselamatkan pasukan bomba sebelum tiga daripada mereka dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abd Rahman Ali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.30 malam.


Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Layangan dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh lapan kilometer.


"Menurut maklumat, empat sekeluarga itu keluar memancing pada jam 4 petang sebelum bot dinaiki karam.


“Difahamkan, salah seorang mangsa sempat menghantar lokasi kejadian kepada penduduk kampung untuk meminta bantuan.


"Pasukan bomba yang menerima maklumat berkenaan segera ke lokasi dan menemui bot karam namun keempat-empat mangsa hilang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Menurutnya, operasi pencarian segera dilakukan sebelum menemui semua mangsa dalam keadaan selamat.


"Semua mangsa kemudian dibawa ke daratan dan seorang lelaki bersama dua wanita dihantar ke hospital dengan menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) untuk pemeriksaan lanjut," katanya.


Abd Rahman berkata, operasi kemudian ditamatkan pada jam 11.07 malam selepas memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page