Jalan menuju kebun getah di Kampung Pangi, Kadamaian dinaik taraf ke jalan konkrit
13 November 2024
KOTA BELUD: Pembinaan jalan konkrit menuju kebun getah di Kampung Pangi, Kadamaian, di sini bakal memberi kemudahan dan manfaat besar kepada penduduk di kampung berkenaan untuk mengusahakan kebun mereka, sekaligus meningkatkan lagi ekonomi mereka.
Kerja menaik taraf jalan di bawah seliaan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu bakal bermula apabila kontraktor untuk projek berkenaan telah dilantik.
Pada 11 November lalu pegawai-pegawai RISDA dari Kota Kinabalu dan Semenanjung Malaysia telah mengadakan lawatan kerja ke tapak projek prasarana di Kampung Pangi, Kadamaian.
Lawatan ini dihadiri oleh 2 Penolong Jurutera RISDA Negeri Sabah, Jumadi Nonchi dan Azmanshah Hamdan, Jurutera Bangunan dan Prasarana, Bahagian Teknikal, Ibu Pejabat RISDA Malaysia, Muzamil Azwal Mokhtar dan Penolong Jurutera Bangunan dan Prasarana, Bahagian Teknikal, Ibu Pejabat RISDA Malaysia, Ariff Firdaus Mohamad.
Terdahulu, dalam usaha untuk memperbaiki kemudahan infrastruktur di Kampung Pangi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N11 Kadamaian, Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Usahawanan dan Koperasi telah memohon dana daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bagi kerja naik taraf jalan ini.
Bagi pihak penduduk Kampung Pangi, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pangi, Jesoli Mossinggin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ewon atas usaha dan komitmennya membantu masyarakat setempat.
"Terus cemerlang," ujar beliau, sambil melahirkan rasa syukur atas perhatian yang diberikan demi kesejahteraan penduduk kampung.
Comments