Jalanraya Kg Lasau Podi kini tidak lagi ditenggelami air, beri keselesaan kepada penduduk
23 Disember 2024
KOTA BELUD: Penduduk Kampung Lasau Podi, Mukim Losou, Kadamaian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N11 Kadamaian, Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia atas peruntukan disalurkan bagi pelaksanaan projek pemasangan pembetung dan pembinaan parit konkrit di kawasan Kampung Lasau Podi.
Sebelum ini, setiap kali hujan, jalan raya di kampung Lasau Podi sering bertukar menjadi sungai sehingga menyulitkan pergerakan penduduk.
Namun, dengan siapnya pembinaan parit ini, masalah tersebut dapat diatasi, dan keadaan jalan raya kami kini lebih selamat dan teratur," kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lasau Podi, Japin Lungkiyu.
Japin yang mewakili seluruh penduduk kampung Lasau Podi merasa amat berbesar hati atas kelulusan serta sokongan Ewon sehingga projek ini berjaya disiapkan.
Japin turut menyatakan bahawa projek ini telah memberi impak positif kepada penduduk kampung, memperbaiki keadaan infrastruktur dan meningkatkan keselamatan serta keselesaan penduduk.
"Kami ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada YB Datuk Ewon Benedick serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Pusat Khidmat Adun N11 Kadamaian atas sokongan dan kerjasama mereka. Semoga pembangunan ini terus memberi manfaat kepada komuniti kami," tambah beliau.
Katanya dengan adanya projek ini, diharapkan kampung Lasau Podi akan terus maju serta lebih selesa dan selamat bagi penduduknya.
Comments