Jangan pandang remeh pendidikan awal kanak-kanak
9 Januari 2025
TAWAU: Pendidikan awal kanak-kanak menjadi satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh kerana pendidikanlah yang menentukan masa depan mereka dan negara ini, kata Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Justeru itu, beliau mahu ibu bapa memberikan perhatian penuh kepada pendidikan anak-anak sejak usia muda dan masih di peringkat Tabika.
"Mereka adalah aset negara sebagai pemimpin masa depan dan dengan memberikan mereka sokongan yang diperlukan, kita akan memastikan anak-anak ini memiliki keyakinan untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
"Menghantar anak-anak ke Tabika atau prasekolah adalah langkah yang sangat penting untuk mereka mempersiapkan diri sebelum memasuki alam persekolahan formal,"katanya lagi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata demikian ketika merasmikan Program Pintar Kreatif dan Hari Konvokesyen Tabika Perpaduan Daerah Tawau 2024 di Dewan Sri Tawau, di sini, hari ini.
Program itu dihadiri lebih 100 kanak-kanak Tabika Perpaduan Daerah Tawau serta ibu bapa dan guru-guru.
Menyentuh program tersebut, Andi melahirkan penghargaan kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) kerana mewujudkan kelas-kelas Tabika Perpaduan yang memberikan peluang kepada kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun untuk mendapatkan pendidikan awal yang berkualiti.
"Program seperti ini tidak hanya memberi pendidikan akademik, tetapi juga membantu mengembangkan bakat dan potensi diri kanak-kanak melalui aktiviti kreatif seperti tarian, bicara berirama, dan pelbagai lagi,"katanya.
Menurutnya, beliau berasa bangga melihat anak-anak yang baharu berusia lima dan enam tahun sudah mampu menunjukkan potensi mereka dengan penuh keyakinan, hasil didikan dan tunjuk ajar guru-guru dan penolong guru yang sangat berdedikasi.
Dalam pada itu, Andi menyatakan komitmennya untuk terus menyokong dan memberi kerjasama penuh dalam mengembangkan potensi kanak-kanak, khususnya di kawasan Parlimen P191 Kalabakan.
Comments