Wartawan Nabalu News
Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki adakan himpunan aman Sabtu ini, tuntut tiga perkara
18 Januari 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki akan mengadakan himpunan secara aman di jalanan pada Sabtu ini (22 Januari) untuk menuntut agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap serta merta.
Jawatankuasa tersebut yang disokong oleh 16 kumpulan masyarakat sivil seperti Sekreteriat Solidariti Rakyat, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaysia dan Persatuan Pengundi Muda serta lapan parti politik yang terdiri daripada Keadilan, DAP, Amanah, Pejuang, Parti Sosialis dan MUDA itu mengemukakan tiga tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan mengenai isu saham yang dimiliki Azam Baki.
Tiga tuntutan tersebut ialah beliau ditangkap serta merta oleh agensi penguatkuasa, proses undang-undang ke atasnya dimulakan segera dan rombakan terhadap SPRM serta diletakkan di bawah Parlimen.
“Setiap pemimpin dan anggota yang berjawatan tinggi harus berhenti bertindak atas kepentingan sendiri termasuk menipu dan menyeleweng untuk kekal berkuasa.
“Rakyat sekian lama dibiarkan tanpa penjelasan yang memuaskan daripada kerajaan dan pihak berkuasa. Malah mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang sepatutnya bersidang 19 Januari ini bagi menyiasat Azam juga telah ditangguh.
“Maka, apakah jalan lain bagi rakyat untuk mendapatkan penjelasan dan memastikan mereka yang diberikan amanah menjalankannya dengan bebas dan adil?” kata jawatan kuasa itu dalam satu kenyataan hari ini.
Himpunan secara aman itu dijadual berlangsung pada pukul 11 pagi di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.
Jawatankuasa tersebut turut mengajak rakyat Malaysia untuk turut sama mengibarkan bendera hitam dan menggunakan tanda pagar #TangkapAzamBaki serta #RombakSPRM pada setiap catatan media sosial.
Sebelum ini, Azam Baki dikaitkan dengan isu salah guna kuasa melibatkan pemilikan saham dan isu itu telah mendapat perhatian ramai sejak bulan lepas yang menuntut agar siasatan dikenakan ke atasnya.
Comments