top of page
nabalunews

Jawatankuasa HKHM 2024 diiktiraf sebagai pasukan terbaik sambutan bersejarah



22 November 2024

 

PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 yang berlangsung dengan jayanya telah mendapat pengiktirafan sebagai salah satu pencapaian terbaik Jawatankuasa Sambutan, dengan pelbagai kelainan yang berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung. 

 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, memuji dedikasi dan komitmen setiap anggota pasukan yang terlibat dalam memastikan kelancaran acara tersebut. 

 

"Saya merasakan bahawa pasukan yang ada itu cukup-cukup baik, pasukan yang ada itu adalah anda semua... jadi saya ucapkan terima kasih kepada semua. 

 

"Tanpa anda, tidak berjaya, tanpa anda tidak ada sambutan. Jadi, terima kasih kepada semua. Selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, saya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada setiap individu yang telah berusaha keras demi kelancaran dan kejayaan sambutan kali ini," katanya dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Penutupan HKHM 2024 di Putrajaya. 

 

Fahmi mengakui bahawa tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM adalah amanah yang besar, dan walaupun sambutan tahun ini berjaya, aspek-aspek tertentu tetap perlu diperbaiki bagi menjadikan sambutan tahun hadapan lebih unik dan bermakna. 

 

"Tugasan ini merupakan tanggungjawab paling berat dipikul saya. Walaupun ia berjalan lancar, setiap aspek perlu dinilai dan diperbaiki untuk memastikan keunikan yang akan ditonjolkan tahun hadapan," jelasnya. 

 

Majlis tersebut turut meraikan lebih 800 individu yang terlibat dalam HKHM 2024 dengan penganugerahan plak dan sijil penghargaan sebagai tanda penghormatan terhadap sumbangan mereka.   

Comments


bottom of page