JBPM Sabah sudah bersiap siaga untuk menghadapi gelombang monson timur laut 2.0.
10 January 2025
KENINGAU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah bersama rakan strategik sudah bersiap siaga untuk menghadapi gelombang monson timur laut 2.0.
Pengarah JBPM Sabah, Zainal Madasin berkata, ini bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjaga jika berlaku banjir.
"Kita telah mengenalpasti sebanyak 799 kawasan perkampungan sering berlaku banjir termasuk kawasan bandar dan pekan" katanya kepada media ketika ditemui sempena lawatan kerja di Balai Bomba Dan Penyelamat Keningau pada Rabu.
Katanya, ia membabitkan daerah Penampang, Sipitang, Tenom, Beaufort dan beberapa daerah di negeri ini.
Jelasnya, JBPM sudah bersiap siaga dan mempunyai tenaga yang cukup dan logistik sedia ada untuk menangani banjir bagi gelombang kedua ini dengan adanya Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Pasukan Bomba Bantan (PBB) di daerah-daerah.
Beliau berkata, kesiap siagaan dibuat kerana hujan dan angin ribut berterusan di pantai timur Semenanjung dan juga di Sabah.
Dalam perkembangan lain, Zainal turut mengingatkan agar semasa perayaan Tahun Baru Cina akan datang ini atau setiap masa orang awam sentiasa mengutamakan keselamatan dan tidak lalai bagi mengelak sebarang kejadian seperti berlakunya kebakaran.
"Pastikan rumah dalam keadaan selamat termasuk peralatan elektrik dan dapur gas ditutup selepas digunakan" jelasnya.
Hadir sama Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Keningau Yuszaimi Hairrul Azwan Juatan dan Pegawai-Pegawai Kanan JPBM Sabah.
Comments