JBPM tingkatkan kesiapsiagaan hadapi Monsun Timur Laut, fokus di 4,619 mawasan banjir
4 November 2024
KANGAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempertingkatkan persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan memberi perhatian khusus kepada 4,619 kawasan yang dikenal pasti sering mengalami banjir di seluruh negara.
Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, data dari Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan penurunan dalam jumlah kawasan berisiko banjir berbanding 5,648 lokasi tahun lalu.
Beliau menegaskan, bagi menghadapi musim tengkujuh kali ini, JBPM telah bersiap sedia dengan keanggotaan keseluruhan seramai 24,263 orang terdiri 13,646 Pegawai Sepenuh Masa (PSM), 2,196 Pegawai Bomba Bantuan (PBB), dan 8,421 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Selain itu, JBPM juga telah melengkapkan pasukannya dengan peralatan kecemasan terkini serta menjalankan latihan persediaan bagi memastikan anggota sentiasa bersedia dalam menghadapi situasi banjir yang mungkin berlaku.
“Bagi memastikan aset dan peralatan dalam keadaan optimum, JBPM melaksanakan pemeriksaan dan pengujian logistik yang dijalankan secara serentak di seluruh negara.
“Pasukan Gerak Cepat (RED Team) turut bersiap sedia digerakkan sebagai strike team untuk meningkatkan kecekapan kebombaan dan penyelamatan di kawasan terjejas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Integriti Tahun 2024 JBPM di sini hari ini.
Nor Hisham berkata sebanyak 22 pasukan gerak cepat itu kini telah berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa dalam tempoh satu jam selepas menerima arahan.
Selain itu, beliau berkata JBPM juga mengaktifkan Regional Forward Base (RFB) bagi mengatur gerak jentera dan peralatan penyelamatan serta pengagihan sumber manusia di tiga zon utama iaitu Zon Utara (Pulau Pinang), Zon Timur (Terengganu) dan Zon Selatan (Johor) untuk menyokong operasi di lapangan.
“Latihan dalaman dan antara agensi menerusi Disaster Management Exercise (DMEX) turut dilaksanakan bagi memantapkan kemahiran anggota dan koordinasi dengan agensi sahabat dalam menghadapi sebarang kemungkinan semasa bencana banjir,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Hisham berkata JBPM merekodkan sebanyak 273 aduan salah laku bagi tempoh 2019 hingga Oktober 2024 termasuk aduan berkaitan skandal atau seksual, salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan.
“Dalam tempoh sama, 74 pegawai JBPM telah diambil tindakan tatatertib atas kesalahan seperti penyalahgunaan dadah, tidak hadir bertugas, penglibatan dalam kegiatan kongsi gelap, rasuah dan jenayah seksual.
“Jabatan tidak akan berkompromi dalam isu kesalahan tatatertib dan tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai yang terbabit dalam sebarang salah laku,” katanya.
Beliau berkata JBPM melaksanakan beberapa inisiatif dan mekanisme kawalan proaktif bagi memperkukuhkan integriti dalam jabatan, antaranya melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) yang kini memasuki tahun keempat selain 79 Marshal Integriti (MI) dilantik di peringkat negeri bagi memantau serta membantu unit integriti jabatan.
Comentarios