Jelajah Iftar 2025 KTC dan UPPM Labuh tirainya di Papar

28 Mac 2025
PAPAR: Parlimen Papar distinasi terakhir Jelajah Iftar 2025 tajaan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah.
Distinasi terakhir itu telah diadakan sempena majlis berbuka puasa di Masjid Al-Falah Pengalat Kecil, Papar kelmarin, dihadiri kira-kira 400 orang dari golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan khas dari Benta Wawasan dan Sabah Softwoods Berhad.
Manakala, 100 orang lagi menerima sumbangan khas daripada Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Dato Sri Gulamhaidar Khan Bahadar.
Turut hadir Pengarah UPPM Sabah Datuk Awang Kadin, Datin Yee Tsai Siew (isteri Dexter), Setiausaha Sulit Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Roslie Ibrahim, KPSU Bahagian Zakat dan Fitrah Iwansuzairie Hari, dan Ketua Polis Daerah Papar Superintendant Kamarudin Ambo Sakka.
Jelajah itu yang merangkumi 25 kawasan Parlimen di seluruh Sabah telah memberi manfaat kepada ribuan penerima dari golongan kurang bernasib baik termasuk orang kurang upaya, melalui program `Shopping Raya' dan majlis berbuka puasa.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, meluahkan rasa syukur atas kejayaan program ini serta merakamkan penghargaan kepada pihak UPPM, khususnya Datuk Awang Kadin Tang, atas sokongan yang diberikan.
Beliau menegaskan bahawa sebagai syarikat tempatan yang telah beroperasi selama 87 tahun, KTC komited untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
Beliau turut berkongsi kegembiraannya kerana dapat mengenali lebih ramai sahabat baharu sepanjang program ini diadakan.
Dexter berkata, Jelajah Iftar ini bertujuan untuk berkongsi rezeki, meringankan beban golongan memerlukan di seluruh Sabah, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Comments