top of page
nabalunews

Jelajah UPKO Gelombang Pantai Timur Cawangan Baharu Kg Sg Beruang Libaran dibentuk, perjuangkan hak rakyat di akar umbi



4 Disember 2024


SANDAKAN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Libaran telah menaja pembentukan cawangan baharu di Kampung Sungai Beruang, Libaran baru-baru ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengangkat suara rakyat di peringkat akar umbi selain bagi membolehkan komuniti kampung dapat bersama-sama dalam proses pembangunan negara.


Ketua Bahagian UPKO Libaran yang juga Ketua Penerangan UPKO, Dr Peter Jr Naintin berkata majlis penajaan cawangan tersebut telah menerima lebih 40 ahli baharu dari Kampung Sungai Beruang dan Kampung Kuala Gum-Gum.


'Ini menunjukkan keyakinan komuniti setempat untuk terlibat dalam memperjuangkan hak dan kepentingan mereka. Mereka yakin dengan kepimpinan UPKO Libaran,' kata Ali Hassan Mail, ketua penaja cawangan.

“Pembukaan cawangan ini bukan sahaja sebagai keyakinan masyarakat terhadap perjuangan UPKO, tetapi ini juga memberi mereka peluang kepada kami turut serta dalam aspek pembangunan setempat,' kata Jafra Anasi, Ketua Cawangan UPKO Kg Kuala Gum-Gum.


'Kami komited untuk memastikan suara rakyat terus didengari kerana ianya melibatkan kehidupan mereka,” kata Dr Peter.


Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dandulit mempunyai 4 buah kampung yang terdiri daripada Kampung Gum-Gum, Kampung Sungai Beruang, Kampung Banting, dan Kampung Dandulit. PDM ini mempunyai lebih 1,100 pengundi berdaftar.


Sebahagian besar penduduknya terlibat dalam sektor pertanian, perikanan, dan pelancongan komuniti di mana aktiviti perikanan merupakan sumber pendapatan utama bagi penduduk.


Dr Peter turut mengumumkan bilangan ahli cawangan di Kampung Sungai Beruang kini meningkat kepada 58 orang.


Katanya usaha untuk memperkukuhkan sokongan di Kampung Kuala Gum-Gum dan Kampung Dandulit juga akan diteruskan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.


"Tumpuan seterusnya untuk mengenal pasti pemimpin tempatan yang berpotensi di Kg Banting dan Kg Dandulit," katanya.


Dr Peter berkata majoriti penduduk di kawasan ini adalah Bumiputera Sabah.


"Walaupun sudah lama tinggal di kampung ini, mereka masih lagi berdepan cabaran ekonomi.


"Pendapatan mereka masih berada di bawah paras kemiskinan negara. Sehubungan itu mereka memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan untuk memperbaiki taraf hidup mereka," katanya.


Menurut Dr Peter, Program Jelajah Gelombang Pantai Timur 2.0 bertujuan untuk memperjuangkan hak-hak rakyat di akar umbi agar tiada yang terpinggir dalam arus pembangunan negeri.


"Kami berharap impak positif kepada komuniti kampung dengan program ini," katanya.


Di majlis ini, Dr Peter turut berkesempatan menyerahkan 15 bakul makanan kepada keluarga B40 termasuk ibu tunggal dan anak yatim piatu yang telah dikenalpasti.

Commentaires


bottom of page