top of page

JENDELA: LEBIH BANYAK KAWASAN LUAR BANDAR DIJANGKA NIKMATI AKSES INTERNET

nabalunews


4 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Jalinan Digital Negara (Jendela), yang dijangka selesai menjelang 2025, akan memastikan semua rakyat Malaysia mendapat akses kepada Internet namun pada tahap kelajuan dan ketersambungan yang berbeza.


Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata menjelang 2025, rakyat di kawasan terpencil sekurang-kurangnya akan mendapat akses kepada Internet manakala mereka yang berada di luar bandar dijangka menikmati rangkaian mudah alih 4G dan akses Internet.


“Impak (di kawasan berbeza) mungkin tidak sama namun poin utamanya ialah semua orang akan mendapat akses kepada Internet,” katanya ketika menjadi tetamu program Bernama TV iaitu ‘The Nation’ hari ini.


Beliau berkata bagi tahun ini, MCMC menyasarkan untuk memasang sambungan gentian di kira-kira 1.2 juta sambungan premis dan kediaman.


Katanya agensi itu turut melancarkan liputan 4G di 1,661 lokasi bukan komersial di luar bandar dan 937 lokasi lain dalam kawasan komersial di seluruh negara.


Kerajaan telah mengumumkan pembentukan Jendela pada Ogos tahun lepas bagi menambah baik ketersambungan digital negara dan menetapkan asas negara bagi teknologi 5G.


Dasar ini akan menjadi sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-12 yang akan bermula dari tahun 2021 hingga 2025. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page