top of page
  • nabalunews

Jentera Wanita Gagasan Rakyat Ditekankan Peranan Penting Menjamin Kemenangan PRN ke-17


23 September 2024


SANDAKAN: Jentera Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) diingatkan mengenai tanggungjawab besar mereka dalam memastikan kemenangan parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang bakal tiba.


Ketua Wanita PGRS Bahagian Sibuga, Senator Annabell Perian menegaskan bahawa masa semakin suntuk untuk memperkukuh gerak kerja mendekati rakyat, terutamanya di peringkat akar umbi. Beliau menekankan keperluan untuk Wanita PGRS meningkatkan usaha bagi memastikan kesiapsiagaan penuh menjelang pilihan raya.


“Fokus utama kita kini ialah memperhebatkan kerjasama jentera Wanita dalam menghadapi pilihan raya yang semakin dekat. Kekuatan kerja berpasukan terletak pada kepercayaan antara satu sama lain, saling menyokong, melengkapkan dan berganding bahu dalam memikul misi besar ini,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Sibuga di Dewan Sri Libaran, Sandakan, semalam.


Turut hadir pada mesyuarat tersebut, wakil pemerhati dari Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Halizah Din yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Likas; Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sungai Sibuga, Datuk Amirshah Yaakub, Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sungai Sibuga, Henry Hamdan serta Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Sungai Sibuga, Norliza Abugau bersama-sama perwakilan dari ketiga-tiga sayap bahagian Sungai Sibuga.


Annabell mengingatkan bahawa jentera wanita memikul amanah kepimpinan parti dan kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, untuk memastikan kemenangan Gagasan Rakyat, sekali gus memperkukuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


“Kita perlu bekerja seiringan, membuang perasaan negatif seperti kebencian dan permusuhan sesama sendiri. Jika ada perbezaan pandangan, duduklah bersama untuk berbincang dan selesaikan masalah dengan cara yang harmoni. Penting untuk kita berfikir positif tentang rakan seperjuangan dalam pasukan, dan mengelakkan daripada menjadi duri dalam daging,” tegas Annabell.


Beliau juga menekankan kepentingan mendekati rakyat terutamanya golongan muda dan keluarga mereka, dengan memberi penjelasan mengenai hala tuju parti yang bersifat inklusif untuk semua lapisan masyarakat.


“Kita harus mendekati mereka, memahami masalah yang dihadapi, dan tunjukkan bahawa kita bekerja dengan hati yang ikhlas. Wanita Gagasan Rakyat adalah tulang belakang pergerakan parti di peringkat akar umbi. Kita sentiasa peka dan dekat dengan keperluan rakyat,” katanya.


Annabell turut menegaskan bahawa keikhlasan dalam perjuangan akan membuahkan hasil.


"Jadilah rakan dan jadi saudara kepada mereka yang kita dekati kerana saya percaya, jika kita Ikhlas, Allah akan bersama kita dan membantu usaha kita dalam meyakinkan akar umbi tentang perjuangan kita bersama Gagasan Rakyat," ujar beliau.


Annabell yang juga Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat Sabah turut menasihatkan jentera wanita supaya berusaha mengelakkan sebarang persengketaan sesama sendiri dan tidak terikut-ikut dengan sikap parti pembangkang.


"Jangan jadi seperti kawan sebelah sana yang sentiasa mencari helah dan menabur fitnah demi mempamerkan diri sendiri sebagai mulia. Kita elakkan, kita jauhkan dari sifat seumpama itu.


"Rakyat hari ini bijak menilai, anak muda kita kini faham realiti dan peka. Sampaikan nilai perjuangan Gagasan Rakyat dengan intipati murni yang sering dikongsikan oleh pemimpin-pemimpin kita," katanya.


Beliau berkata, Ketua Menteri telah berusaha keras untuk mengubah Sabah, membawa lebih banyak penambahbaikan serta manfaat untuk rakyat Sabah.


Malah, kepimpinan kerajaan hari ini telah membuka ruang untuk anak Sabah khasnya dari segi melanjutkan pelajaran, penyediaan bantuan dan biasiswa dan banyak lagi.


"Sampaikan kepada semua yang di luar sana bahawa usaha berterusan kerajaan negeri Sabah adalah usaha yang fokus untuk rakyat Sabah.


"Saya mahu semua wanita-wanita di hadapan saya hari ini, anda semua, saya mahu kita semua jadi suara yang membawa mesej positif dari perjuangan parti kita untuk difahami rakyat," katanya.

Comments


bottom of page