top of page
nabalunews

Jetama Sdn. Bhd perkenal sistem atasi masalah bekalan air di kampung pedalaman Sabah


21 Oktober 2024


KOTA KINABALU : Tiga kampung di pedalaman Sabah, Kampung Pulau Berhala di Sandakan, Kampung Tanjung Batu di Sukau, dan Kampung Paris di Kinabatangan akan mendapat akses kepada bekalan air yang lebih bersih tidak lama lagi melalui projek perintis dikenali sistem penapisan air nano berkuasa solar, iaitu sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri untuk menyediakan bekalan air bersih kepada komuniti luar bandar atau kawasan yang dilanda bencana.


Projek ini akan dilaksanakan Jetama Sdn Bhd, sebuah syarikat milik kerajaan negeri.


Pengerusinya, Liau Fui Fui, berkata tujuh kampung lain juga akan mendapat manfaat sebaik butiran projek dimuktamadkan.


"Projek ini menawarkan penyelesaian yang mampan untuk air minuman bersih di kawasan pedalaman. Sistem ini mesra alam dan mudah alih, menjadikannya sangat sesuai," katanya semasa ditemui media di pameran sempena Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru Sabah 2024 (SIBEC 2024) di sini, pada Sabtu.


Program ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Datuk Ahmad Naim Uddang.


Liau berkata sistem ini menggunakan tenaga solar untuk menggerakkan unit rawatan air, yang merupakan kelebihan utama.



"Ia adalah kos efektif, dengan kos operasi yang minimum selepas dipasang. Sistem ini beroperasi menggunakan cahaya matahari dan tidak memerlukan bahan kimia," tambahnya.


Setiap unit dikatakan mampu membekalkan air bersih untuk antara 5,000 hingga 7,500 penduduk kampung, selain membantu komuniti yang tidak mempunyai akses kepada grid elektrik.


"Justeru, ia amat berfaedah di kawasan terpencil yang tidak mempunyai akses kepada elektrik.


"Dari segi daya tahan, melalui penyelenggaran yang betul, panel solar dan penapis nano ini mempunyai jangka hayat panjang dan boleh menyediakan sumber air bersih terawat, berkualiti serta selamat untuk diminum, khususnya di kawasan terpencil yang tidak mempunyai sistem rawatan air atau hanya bergantung kepada bekalan air graviti dan telaga.


"Setiap pemasangan unit ini boleh menampung air bersih kepada 5,000 sehingga 7,500 orang (berdasarkan penggunaan 4 Liter sehingga 6 Liter setiap orang)," katanya.


Beliau berkata, penapis nano merupakan sistem penapisan termaju menggunakan teknologi nano untuk membuang zarah dan bahan cemar daripada air mentah.


"Secara keseluruhannya, ia adalah satu sistem penapisan nano berkuasa solar yang mampu menawarkan penyelesaian yang mampan untuk menyediakan air minuman bersih kepada rakyat Sabah terutamanya di kawasan terpencil dan tidak mempunyai akses elektrik," katanya.

Comments


bottom of page