JIM Sabah hantar pulang 76 PATI Filipina.
13 Februari 2025
LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menghantar seramai 76 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina pulang dalam Operasi Pemindahan Tahanan ke Negara Asal, semalam.
Penghantaran kategori Usir melalui laut itu dijalankan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua PATI yang dihantar pulang melibatkan tahanan di Depot Imigresen Imigresen Sandakan.
Katanya, semua mereka dipindahkan menggunakan pengangkutan laut feri MV Ming Hai ke Pelabuhan Bongao, Filipina.
“Ia membabitkan 48 lelaki, 11 wanita dewasa, 23 kanak-kanak termasuk bayi berusia lingkungan tiga bulan hingga 76 tahun.
“Semua tahanan bawah umur yang dihantar balik ke negara asal diiringi oleh ibu dan bapa atau penjaga yang sah.
“Selain itu, semua tahanan dihantar pulang atas kos pembiayaan sendiri,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
SH Sitti Saleha berkata, semua PATI berkenaan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, semua PATI juga akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.
Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, sepanjang tahun ini, seramai 221 PATI warga Filipina sudah dihantar pulang ke negara asal.
Katanya, ia menjadikan jumlah keseluruhan seramai 437 warganegara asing yang berjaya dipindahkan ke negara asal.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara
Comments