JIM Sabah laksana operasi berterusan banteras PATI
3 Oktober 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah telah melancarkan sebanyak 1,197 operasi sehingga 30 September tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia (Operasi), Jafri Embok Taha, berkata, sepanjang operasi itu, 23,692 orang telah diperiksa dan 4,324 orang ditangkap manakala 34 majikan telah didakwa.
Katanya, ini antara komitmen JIM dalam melaksanakan operasi setiap hari untuk memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.
Operasi itu juga bertujuan mengesan, menangkap, mendakwa dan memindahkan warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti termaktub di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
"Orang ramai dan majikan juga dinasihatkan agar tidak melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau berdepan tindakan undang-undang jika didapati melakukan kesalahan itu," katanya.
Beliau berharap orang ramai segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika mempunyai maklumat mengenai kehadiran PATI di komuniti mereka.
Jafri menyatakan perkara itu pada sidang media di Depot Imigresen Sandakan pagi tadi yang turut dihadiri Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof.
Sidang media itu diadakan selepas lawatan kerja beliau ke depot itu.
Terdahulu, operasi penguatkuasaan Imigresen turut dijalankan oleh 64 pegawai Imigresen Sabah di Sandakan pada 2 dan 3 Oktober.
Sepanjang operasi dua hari itu, 219 orang diperiksa dan seramai 121 orang dipercayai PATI ditahan.
3 rakyat Malaysia turut ditahan mengikut
Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil satu atau lebih pekerja selain daripada warganegara atau pemegang pas yang sah.
PATI yang ditahan terdiri 116 warganegara Filipina dan lima warganegara Indonesia berumur di antara 12 bulan hingga 65 tahun.
Mereka ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Sandakan, Sabah untuk siasatan dan tindakan susulan.
Kesemua yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa serta lain-lain kesalahan.
"Ketika pemeriksaan dan serbuan operasi itu, terdapat warga asing cuba melarikan diri tetapi keadaan berjaya dikawal dan tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
Comentarios