Jiran Wanita KRT Anjur Program 'Caring For Life' di Tambulion Ulu Kadamaian
nabalunews

Oleh : Romie Stanley Deukin
19 Oktober 2024
KOTA BELUD : Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tambulion Ulu Kadamaian, Kota Belud, telah menganjurkan program komuniti bertemakan 'Caring For Life' bertempat di Dewan Terbuka Komuniti Tambulion Ulu, hari ini.
Program ini menyediakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, termasuk pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan mata, serta pemeriksaan pergigian secara percuma. Selain itu, kempen derma darah turut diadakan sebagai usaha murni membantu menambah bekalan tabung darah di Hospital Kota Belud.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian, Caryle Lajimin, yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang juga
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.
Dalam ucapannya, Carlye mengucapkan terima kasih kepada Jiran Wanita KRT Tambulion Ulu atas inisiatif penganjuran program ini, yang dilihat amat berkesan dalam meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan dalam kalangan komuniti.
Katanya program ini turut memberikan sumbangan penting kepada Hospital Kota Belud dalam usaha mengumpulkan bekalan darah yang amat diperlukan.
Program ini turut dihadiri oleh Loveverinus Dell Jailih, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Belud, Slyvester Mawal, Wakil Pegawai Tabung Darah Hospital Kota Belud, James Jarit, Pengerusi KRT Tambulion Ulu, Hildawati Sikol, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tambulion Ulu, serta Daiman Basinau, Ketua Kampung Tambulion Ulu.
Program sebegini memperkukuhkan lagi permuafakatan, perpaduan serta kesejahteraan dalam kalangan masyarakat di Tambulion Ulu.
Comments