JKR bersedia hadapi gelombang kedua banjir, bilik gerakan bencana diaktifkan
12 Disember 2024
BUTTERWORTH: Jabatan Kerja Raya (JKR) meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi gelombang kedua banjir yang diramalkan melanda beberapa negeri, susulan laporan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengenai luruan monsun yang berpotensi membawa hujan lebat sehingga 16 Disember ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata langkah awal telah diambil termasuk pembukaan Bilik Gerakan Bencana dan penggerakan bantuan pembersihan di kawasan terjejas.
"Gelombang kedua ini sudah kita alami baru-baru ini dan bantuan sedang digerakkan. Minggu lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama JKR dan pihak konsesi telah melancarkan program bantuan termasuk penyediaan bekalan dan kerja pembersihan kawasan terjejas," katanya selepas merasmikan Hari Profesion Teknikal Negara di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.
Alexander turut menegaskan bahawa Bilik Gerakan Bencana di negeri-negeri yang berisiko tinggi telah diaktifkan bagi memastikan segala persiapan dilaksanakan dengan rapi untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Menerusi laporan METMalaysi, hujan lebat dijangka melanda kawasan timur dan utara Semenanjung serta Sabah akan disertai dengan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.
Comments