JKR SABAH MULAKAN KERJA PEMBAIKAN INFRASTUKTUR YANG ROSAK
Wartawan Nabalu News
15 Jan 2021
OLEH ERDIEHAZZUAN AB WAHID
PITAS: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan memulakan kerja-kerja pembaikan jalan yang runtuh termasuk Jambatan di sungai Paparoun Telaga disini ekoran kesan banjir besar yang berlaku di daerah ini minggu lalu.
Pengarah JKR Ir Ali Ahmad Hamid berkata, kerja pembaikan akan dilaksanakan sesuai dengan keperluan arahan Perbendaharaan AP 55 di bawah peruntukan kecemasan bagi memastikan penduduk kampung yang terjejas dapat berhubung dengan segera.
“Pihak jabatan termasuk jurutera daerah telah pun melakukan lawatan susulan bagi meneliti segala kerosakan yang dialami dan turut menyediakan laporan lengkap.
“Selepas itu kita akan membuat anggaran kos perbelanjaan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dalam tempoh terdekat ini,”katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan bagi meninjau jalan dan jambatan yang runtuh di sungai Paparoun Telaga Pitas di sini, kelmarin.
Ali Ahmad berkata, pihaknya juga telah memaklumkan kepada Menteri Kerja Raya Sabah (Datuk Seri Bung Moktar Radin) selain menyerahkan laporan terperinci berhubung kejadian yang berlaku di daerah terlibat.
“Beliau (Bung) telah meminta pihak jabatan untuk mengambil tindakan segera bagi membaiki segala kerosakan yang ada bagi membolehkan rakyat yang terjejas dapat berhubung semula untuk melakukan aktiviti harian mereka,”katanya.
Antara jalan yang terputus dalam kejadian banjir itu ialah Jalan Suang Duyung-Layak (KM0.25) dan di KM 4.25 iaitu kira kira 50 KM dari Pekan Pitas dan beberapa tempat lain.
Ekoran hujan lebat yang berterusan minggu lalu menyebabkan banjir dibeberapa buah daerah di Sabah antaranya Kudat ,Membakut, Beaufort dan Pitas.
Daerah Pitas adalah antara yang amat terjejas dengan kejadian tanah runtuh termasuk sebatang jambatan di Sungai Paparoun Telaga yang menjadi nadi perhubungan utama kampung Telaga untuk ke Pekan Pitas dan lain-lain kampung berhampiran dihanyutkan banjir.
Comentarios