top of page
nabalunews

JPJ sokong penggunaan kamera badan tingkatkan ketelusan dan keselamatan




7 Januari 2025


PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyatakan sokongan penuh terhadap pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berhubung pelaksanaan kamera badan bagi anggota penguat kuasanya.


Langkah ini diambil untuk meningkatkan ketelusan dan integriti dalam penguatkuasaan, selain melindungi keselamatan anggota bertugas.


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, mengesahkan bahawa permohonan bagi inisiatif ini telah dibuat lebih awal sebagai usaha proaktif jabatan.


"Penggunaan kamera badan ini juga dapat mengelakkan elemen salah laku integriti kerana setiap pergerakan dan aktiviti anggota penguat kuasa akan direkodkan oleh kamera tersebut," katanya semasa sesi Temu Bual Khas bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam.


Langkah tersebut bertujuan melindungi anggota JPJ daripada tuduhan tidak berasas semasa menjalankan tugas. JPJ kini dalam proses menyediakan permohonan rasmi kepada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan untuk perolehan peralatan tersebut pada tahun ini.


"Jika perolehan ini dapat diselesaikan, kami akan melaksanakannya secepat mungkin. Pihak JPJ juga telah menyediakan dokumen operasi rasmi (DOR) atau prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan pelaksanaan kamera badan ini berjalan lancar," katanya.

Comments


bottom of page