top of page
nabalunews

JPJ tawar diskaun kompaun khas RM150 selama enam bulan


2 Januari 2025


PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 untuk tiga jenis kesalahan, bermula esok hingga 30 Jun depan, bagi memberi peluang kepada pesalah trafik menyelesaikan saman tertunggak.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata inisiatif ini melibatkan Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), Notis Temu Siasat (114), dan Notis Saman Tampal (JPJ(P)23).


“Biasanya, kompaun bagi ketiga-tiga kesalahan ini ialah RM300. Jadi kita memberikan satu kadar kompaun khas bermula esok selama enam bulan supaya mereka dapat menyelesaikan saman tertunggak,” katanya pada Majlis Pelancaran Pejabat Baharu JPJ, di sini hari ini, lapor Bernama.


Beliau turut menjelaskan, terdapat dua juta saman AwAS yang masih belum diselesaikan, dan kegagalan melunaskan saman akan menghalang individu daripada memperbaharui lesen memandu serta lesen kenderaan motor mereka.


Pembayaran kompaun khas ini boleh dilakukan melalui pelbagai saluran seperti kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, kaunter mobile JPJ, serta aplikasi myJPJ. Namun, Anthony Loke menegaskan pembayaran tidak boleh dilakukan melalui MyEG atau Pos Malaysia.


Dalam perkembangan lain, pengumpulan mata demerit bagi Sistem Mata Demerit akan dihentikan sementara mulai esok hingga 30 Jun, bagi memberi ruang kepada kajian semula terhadap kaedah pelaksanaannya oleh Bahagian Penguat Kuasa JPJ.

コメント


bottom of page