JPKA Beluran cari ibu kandung dan waris kanak-kanak ini yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan
15 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
BELURAN : Orang ramai yang mengenali ibu kandung atau waris kepada kanak-kanak yang dikenali sebagai Marlinah Binti Abdullah, 7 tahun 8 bulan (gambar) dan lahir pada 12 November 2016 diminta tampil bagi memberikan maklumat berkenaan keberadaan keluarga kanak-kanak itu.
Pegawai Kebajikan Daerah Beluran, Asmad Nasir, dalam satu kenyataan berkata orang ramai boleh berhubung dengan Pelindung Kanak-Kanak, Mohd Hafiz bin Ahmad di talian 016-5528340 untuk sebarang maklumat lanjut.
Dalam satu kenyataan hari ini, Asmad berkata kanak-kanak ini dirujuk kepada Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Daerah Beluran pada 19 Mac 2024 oleh seorang pengadu yang bernama Jalma @ Alus Awang Jalil dan pasangannya yang bernama Muhammad Ismail berhubung satu kes penjagaan seorang kanak-kanak yang kini sedang berada di dalam jagaan mereka sejak kanak-kanak berusia satu tahun.
Berdasarkan maklumat daripada pengadu pada 19 Oktober 2017, lebih kurang jam 09.00 pagi, seorang wanita yang dikenali sebagai Roaini telah datang ke gerai sayur milik pengadu yang beralamat di Pekan Beluran dan telah meninggalkan anak perempuannya yang bernama Marlinah, berumur satu tahun ketika itu buat sementara waktu.
Namun, sehingga tarikh laporan polis dibuat oleh pengadu iaitu pada 02 Oktober 2019, Roaini mahupun waris kanak-kanak tidak pernah datang menuntut anaknya.
Pengadu juga telah cuba untuk menghubungi nombor telefon yang ditinggalkan tetapi gagal.
Jelasnya, kanak-kanak itu kini ditempatkan sementara di bawah jagaan Jalma @ Alus Awang Jalil dan Muhammad Ismail melalui Perintah Jagaan Sementara di bawah Subseksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).
Comments