Jumlah Mangsa Banjir Di Tiga Negeri Berkurang Kepada 2,803 Orang Petang Ini

24 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri yang terjejas bencana itu mencatatkan penurunan kepada 2,803 orang petang ini, berbanding 4,817 pagi tadi.
Di JOHOR jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurang kepada 2,455 orang hingga 4 petang ini, berbanding 3,893 orang pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 703 keluarga itu berlindung di 23 PPS yang masih beroperasi di lima daerah terjejas.
“Daerah Johor Bahru kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,281 orang, diikuti Pontian (430), Batu Pahat (368), Kluang (299) dan Kota Tinggi pula 77 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di SARAWAK, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 210 orang selepas tiga PPS ditutup hari ini berikutan situasi banjir yang kian pulih.
PPS Asrama Belia Kapit dan PPS Dewan Suarah Kapit Ditutup pada 9 pagi manakala PPS Dewan Serbaguna Selangau ditutup pada 12 tengah hari.
Setakat 4 petang tadi, 25 mangsa banjir masih ditempatkan di Dewan Komuniti Sibu Jaya manakala 185 mangsa berada di PPS Dewan Kompleks Sukan Kanowit.
Di SABAH keadaan banjir juga kian pulih dengan jumlah mangsa berkurang kepada 138 orang daripada 41 keluarga di Beaufort pada petang ini berbanding 473 orang daripada 141 keluarga pagi tadi.
Sekretariat JPBN Sabah memberitahu dua PPS di daerah itu iaitu Dewan DSP DUN Banir serta Dewan Gereja St Seno Batu 58 telah ditutup pada petang ini dan hanya Dewan Selangon masih dibuka bagi menempatkan semua mangsa banjir itu.
“Sebanyak lapan kampung terjejas banjir di Beaufort,” menurut kenyataan itu.– BERNAMA
Comments