Juragan bot kargo bawa muatan kelapa sawit ditahan

18 January 2025
Oleh: Wartawan Nabalu News
TAWAU: Sebuah bot kargo yang membawa muatan buah kelapa sawit ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau kerana disyaki melanggar syarat sah lesen selepas gagal memaklumkan pertukaran nakhoda pada jam 8.30 malam, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya yang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris berjaya mengesan pergerakan bot kargo berkenaan dari Pulau Sebatik menuju ke perairan Kinabutan.
"Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 2.8 batu nautika selatan
Tinagat itu mendapati bot kargo itu dikendalikan seorang juragan lelaki warga Indonesia berumur 40 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri.
"Bagaimanapun, pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati nama juragan tersebut tiada dalam lesen bot yang didaftarkan,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Shahrizan berkata, sikap para pengusaha bot kargo yang tidak mengambil berat berkaitan syarat-syarat sah lesen wajar diambil tindakan untuk memberi pengajaran supaya lebih peka dengan syarat ditetapkan.
Katanya, bot kargo itu bersama muatan dan juragannya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memaklumkan pertukaran nakhoda.
"Nilai rampasan dalam kes ini, termasuk bot kargo dianggarkan sekitar RM46, 000,"katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.
Opmerkingen