Kaamatan mantapkan perpaduan, persefahaman rakyat: Ewon
21 Mei 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PITAS: Sambutan Pesta Kaamatan yang sinonim dengan masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus satu perayaan yang dapat memantapkan lagi perpaduan dan persefahaman rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, ini kerana sambutan Kaamatan bukan sahaja dihadiri masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus tetapi juga turut dirayakan bersama masyarakat daripada kaum-kaum lain.
“Setelah dua tahun tiada sebarang sambutan Kaamatan seperti ini ekoran pandemik Covid-19, pada tahun ini kita dapat menghidupkan semula semangat Kaamatan dengan meraikannya bersama dalam suasana yang meriah.
“Saya berharap perpaduan dan persefahaman ini dapat dipelihara kerana ia adalah kekuatan bagi menjayakan program-program pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Kaamatan PH 2022, di Dewan Kg.Sinukab Pitas, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Naib Presiden UPKO berkata, sambutan kaamatan ini juga dapat memupuk perpaduan dikalangan semua pemimpin dan anggota parti di negeri ini.
Pelbagai acara menarik diadakan untuk memeriahkan sambutan itu termasuk persembahan kebudayaan, sugandoi, unduk ngadau dan cabutan tiket bertuah.
Friska Roleng Jinun dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan PH Kudat. Dengan kemenangan itu dia menerima hadiah wang tunai RM500, piala dan hadiah-hadiah iringan lain.
Manakala tempat kedua pula dimenangi oleh Syafikah Malun dan tempt ketiga oleh Frebie Conny.
Sementara itu Pengerusi Penganjur Junsim Ruminzing berkata, sambutan yang julung kalinya diadakan selepas dua tahun ekoran pandemik Covid-19 bertujuan menyemarakkan lagi semangat Kaamatan dikalangan penduduk kampung.
“Kita berkumpul dalam suasana kekeluargaan dan berharap sambutan ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di kalangan masyarakat,” katanya.
Turut hadir Adun Inanam YB Peter Galim, Ketua Bahagian UPKO Kudat, Mapaham Ruminzing dan Penolong Penerangan PKR Sabah Tony Chee.
Comments