top of page
Wartawan Nabalu News

Kabin rehabilitasi dan tibi Poliklinik Penampang dari peruntukan ahli parlimen siap - Ewon

21 Oktober  2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Pembinaan bangunan kabin rehabilitasi dan tibi Poliklinik Penampang (Klinik Kesihatan Penampang) yang menggunakan peruntukan khas Ahli Parlimen sebanyak RM200,000 sudah disiapkan.


Selain bangunan kabin, peruntukan tersebut juga mencakupi pembinaan anjung menunggu di bangunan klinik ibu dan anak di poliklinik ini.


Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick yang mengadakan lawatan tinjauan ke atas projek tersebut menyatakan berpuashati dengan pelaksanaan projek yang disiapkan mengikut jadual.


“Ini antara projek kecil yang dilaksanakan melalui peruntukan khas kawasan Parlimen Penampang. Bagi pihak warga poliklinik dan penduduk Penampang yang datang mendapatkan perkhidmatan di sini, saya ucapkan terima kasih kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri di atas peruntukan yang telah disalurkan.

“Bagaimanapun, masih banyak keperluan di sini yang dilaporkan kepada saya oleh doktor dan matron di sini terutama kelengkapan ujian dan rawatan. Saya akan berbincang dengan rakan sejawat saya Menteri Kesihatan mengenai keperluan-keperluan mustahak di sini.


“Saya yakin dengan pertambahan besar peruntukan kepada Kementerian Kesihatan dalam Belanjawan 2025 membolehkan poliklinik seperti ini dapat dinaiktaraf atau ditambah kelengkapan peralatan rawatan yang sangat diperlukan,” katanya.


Menurut Ewon, dalam lawatan beliau ke poliklinik Penampang pada hujung tahun lalu, beliau dimaklumkan mengenai keperluan bangunan kabin untuk digunakan bagi pusat rehabilitasi dan tibi berikutan kesesakan di bangunan sekarang.


Susulan itu, beliau telah mengambil tindakan untuk mendapatkan peruntukan bagi pembinaan tersebut yang kini sudah siap.


Comments


bottom of page