Kabinet tolak cadangan garis panduan, tapi JAKIM boleh beri nasihat
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_30ff625771a74b2181262149ff831b15~mv2.jpg/v1/fill/w_894,h_1280,al_c,q_85,enc_auto/d65831_30ff625771a74b2181262149ff831b15~mv2.jpg)
7 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri sebulat suara bersetuju JAKIM boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam satu kenyataan bersama berkata, ia diputuskan semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, jemaah menteri membincangkan perkara berhubung cadangan pelaksanaan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam itu yang sebelum ini menimbulkan kekeliruan.
“Perkara ini berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan.
“Bagi memberi panduan kepada umat Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif membangunkan garis panduan tersebut,” katanya.
Menurutnya, jemaah menteri juga mengingatkan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan kabinet terlebih dahulu.
“Pada masa yang sama, Kementerian Perpaduan Negara akan terus menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuhkan keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini.
“Perbincangan yang inklusif dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak adalah amat penting dalam membina kesepaduan nasional.
“Justeru, segala perkara berkait rapat dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan secara lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang dipengerusikan bersama,” katanya.
Sementara itu, kenyataan itu turut maklumkan, satu mesyuarat jawatankuasa HARMONI Bil 1/2025 turut dijadualkan pada bulan ini.
Katanya, ia bagi mendengar segala pandangan ahli-ahli yang terdiri 24 wakil penganut agama (Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, Baha’i).
“Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian telah lama menjadi contoh perpaduan dan keharmonian kepada dunia.
“Kerajaan MADANI menyedari bahawa kestabilan negara bergantung kepada kesejahteraan rakyat yang hidup dalam suasana yang aman dan harmoni,” jelasnya.
Comments