top of page
  • nabalunews

Kadamaian berpotensi sebagai kawasan pengeluaran utama kunyit hitam melalui gerakan koperasi



16 September 2024


KOTA BELUD: Kadamaian berpotensi sebagai kawasan pengeluaran utama kunyit hitam melalui gerakan koperasi.


Bagi meninjau potensi itu, satu lawatan telah dianjurkan pada 13 September lalu ke kebun dan nurseri penanaman kunyit hitam yang diusahakan oleh Yutin Gitun, pengurus Tinn Black Ginger Sdn Bhd, di Kampung Piasau di sini.


Tinn Black Ginger Sdn Bhd adalah sebuah syarikat mikro yang kini menerima tempahan kunyit hitam dari luar negara, terutamanya dari Thailand.


Lawatan ini adalah untuk meninjau sendiri aktiviti penanaman kunyit hitam di atas tanah milik Yutin seluas lebih 1 ekar.


Taklimat ringkas turut diberikan mengenai hasrat Yutin untuk menjadikan Kadamaian sebagai kawasan pengeluar dan pembekal utama kunyit hitam, memandangkan permintaan yang semakin meningkat.


Antara yang hadir dalam program ini termasuk Dr. Rizoh Bosorang, Pegawai Tugas-Tugas Khas II kepada YB Menteri KUSKOP, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N11 Kadamaian, Juin Kolod, serta wakil-wakil dari Koperasi KOPENSA Berhad.


Yutin juga menyatakan hasratnya untuk membantu para petani di Kadamaian memasarkan hasil tanaman kunyit hitam ke pasaran luar negara.


Pejabat UPPM N11 Kadamaian Kota Belud juga akan menjemput beliau dan pegawai Jabatan Pertanian Kota Belud untuk memberikan taklimat kepada para pemimpin kampung dan usahawan tempatan mengenai potensi penanaman kunyit hitam.


Tambahan pula, Yutin menyatakan bahawa syarikatnya memerlukan lebih 100 tan kunyit hitam setiap tahun bagi memenuhi permintaan pasaran di dalam dan luar negara.


Yutin memaklumkan jika bekalan bahan mentah kunyit hitam dapat dipenuhi secara konsisten, beliau merancang untuk membuka mini kilang pemprosesan serbuk kunyit hitam.


Kilang ini akan memudahkan penyimpanan dan pemasaran produk tersebut.


Program ini menunjukkan usaha yang serius dalam membangunkan Kadamaian sebagai pusat pengeluaran kunyit hitam, sambil membuka peluang ekonomi baru kepada petani tempatan.

Comments


bottom of page