top of page

Kadamaian boleh jadi duta keharmonian dan perpaduan kaum, kata Ewon

Wartawan Nabalu News

22 Mac 2025

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Kadamaian boleh menjadi duta keharmonian dan perpaduan kaum dengan memperkukuhkan peranan bersama dalam memupuk kebersamaan rakyat.


Sehubungan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian itu berkata, keharmonian dan perpaduan antara kaum dan agama di Kadamaian yang terjalin sejak sekian lama perlu dipelihara dan diperkukhkan.


“Sebagai pemimpin di kawasan ini saya memberikan sumbangann yang sama rata kepada masjid dan surau menjelang sambutan Hari Raya dan begitu juga dengan gereja pada Hari Natal.


“Inilah kita di Kadamaian, memberi penghormatan yang tinggi kepada perpaduan kaum dan agama dan saling bekerjasama.


“Kalau bukan kita, siapa lagi? Kita harus mulakan dengan kita sendiri di Kadamaian dan saya yakin bila kita boleh bersatu, bekerjasama menjaga keharmonian saling hormat menghormati, kita menjadi duta perpaduan, menjadi contoh kepada daerah-daerah lain di dalam dan luar negara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid dan Surau kawasan Kadamaian, di Masjid Kg.Tambulion, di sini, semalam.


Pada majlis itu sebanyak 24 masjid dan surau di kawasan Kadamaian masing-masing menerima sumbangan RM1,000 dan seramai 535 asnaf kawasan Kadamaian menerima sumbangan RM150 setiap seorang daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).


Koperasi PERKIM Sabah Berhad juga menyampaikan sumbangan kepada setiap masjid dan surau di Kadamaian.


Ewon berkata: “Sumbangan kepada masjid itu sama seperti yang kita laksanakan kepada rumah ibadat yang lain terutamanya gereja, tidak ada kurangnya mereka juga menerima RM1,000 setiap gereja menjelang sambutan hari natal dan setiap masjid menerima sumbangan yang sama menjelang hari raya”.


“Saya berharap kebersamaan rakyat, kerjasama, perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama seumpama ini terus terpelihara di negara kita,” katanya.


Selain memberikan sumbangan kepada masjid dan surau, YBR juga memberikan bantuan persekolahan kepada semua sekolah di kawasan Kadamaian.


“Ini tahun ketiga kita bersama YBR untuk memberi sumbangan ini kepada semua sekolah di Kadamaian.


“Saya amat menghargai tanggungjawab dan perhatian YBR terhadap keperluan sekolah di Kadamaian dan seluruh negara. Saya berharap ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya,” katanya.


Sebagai ADUN Kadamaian, Ewon juga menyampaikan peruntukan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian kepada Masjid Kampung Tambulion sebanyak RM10,000 untuk keperluan penyelenggaraan.


Mengenai pembangunan di Kadamaian beliau berkata, Tamu Desa bernilai RM300,000 bakal dibina di Kampung Tambulion.


“Pembinaan Tamu Desa ini di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, iaitu fokus tambahan kementerian dengan memberi perhatian lebih kepada keperluan Sabah dan Sarawak,” katanya.


Katanya, selama lima tahun pelaksanaan Pelan Pembangunan Kadamaian, telah banyak pembangunan berjaya dilaksanakan.


“Antaranya penaiktarafan jalan Tengkurus, jalan Sayap, jalan Podos dan pembinaan jambatan konkrit,” katanya

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page