top of page
nabalunews

Kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 hampir selesai




11 Disember 2024


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 (HNDP 2040) yang menggantikan HNDP Fasa 2 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, menjadikan pembangunan ekonomi kekal sebagai agenda utama dalam merancang rangkaian jalan raya di wilayah berkenaan.


Katanya kajian HNDP 2040 hampir selesai dengan proses kemajuan 95.11 peratus setakat ini berbanding jadual asal 92.10 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.


"Kesalinghubungan ditingkatkan menarik pelaburan luar yang mendorong pertumbuhan perniagaan dan industri baru serta memperbaiki akses penduduk kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penting lain, dapat meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa, lapor Bernama.


Ahmad menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang ingin tahu status terkini kajian HNDP 2040 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan serta impak pelaksanaan pelan itu dalam menambah baik rangkaian jalan raya di Sarawak termasuk dari segi kualiti, kesalinghubungan, keselamatan dan keselesaan pengguna.


Mengenai Sarawak, Ahmad berkata rangkaian jalan raya di negeri itu kelak akan memainkan peranan penting dalam mengurangkan kos pengangkutan, memudahkan pengeluar luar bandar untuk mengakses pasaran lebih besar seterusnya meningkatkan jualan serta pendapatan petani dan perniagaan tempatan.


Beliau berkata infrastruktur pengangkutan yang lebih baik juga mendorong pembangunan industri bukan pertanian seperti pembuatan dan runcit, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada sektor pertanian.


Menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai pelan bagi menangani isu jalan yang sering ditenggelami banjir, beliau berkata kerajaan mempunyai perancangan untuk menyelesaikan isu itu dengan kerjasama kementerian berkaitan.


"Saya memahami bahawa bagaimana jalan-jalan tertentu perlu ditinggikan arasnya supaya tidak tenggelam waktu banjir dan kita ada segala pemetaan itu," katanya.

Comments


bottom of page