Kakitangan KPM kumpulan terbesar belum terima vaksin Covid-19
10 Nov 2021 Oleh Wartawan Nabalu News PUTRAJAYA: Kakitangan Kementerian Pendidikan (KPM) dipercayai merupakan kumpulan terbesar penjawat awam yang masih belum menerima vaksin Covid-19, menurut Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman. Tanpa mendedahkan butiran lebih lanjut, beliau berkata JPA sedang mengemas kini data penjawat awam yang belum divaksin dan proses ini dijangka siap dalam masa dua minggu. "Buat masa ini, JPA sedang memadankan data penjawat awam yang tidak divaksin menggunakan Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) dan aplikasi MySejahtera Kementerian Kesihatan, katanya. “Setakat hari ini, data sedang dikemas kini dan JPA akan meneliti semula alasan penjawat awam yang tidak mahu diberi vaksin. “Alasan yang diberi kemudiannya akan disemak oleh setiap ketua jabatan…jadi ketua jabatan perlu turun padang untuk memahami alasan yang diberikan,” katanya baru-baru ini. JPA telah mengeluarkan pekeliling yang mewajibkan penjawat awam, termasuk guru, mendapatkan vaksin sebelum 1 Nov atau berdepan tindakan tatatertib, termasuk kemungkinan dibuang kerja. Bagaimanapun, belum ada tindakan tatatertib diambil terhadap penjawat awam yang enggan divaksin. “Kami difahamkan ada segelintir yang bimbang untuk divaksin, dan ada di antara mereka tidak mahu divaksinasi kerana penyakit kanser, atau baru lepas bersalin atau dijangkiti Covid-19. Golongan ini akan diberi pengecualian,” tambahnya.
Komentáře