KALAU KERAJAAN ADA KAEDAH CARI DUIT, RAKYAT PULA HANYA HARAP MORATORIUM
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_f624cbbfaecc4d4886d8958dab57ed6e~mv2.jpeg/v1/fill/w_980,h_809,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_f624cbbfaecc4d4886d8958dab57ed6e~mv2.jpeg)
16 NOV 2020
KUALA LUMPUR: Jika kerajaan perlukan duit, sukuk boleh diterbitkan, Bank Negara Malaysia (BNM) boleh cari pelbagai kaedah tetapi kalau rakyat perlukan duit sekarang, mereka hanya dapat berharap kepada moratorium dilanjutkan.
Demikian antara peringatan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar moratorium dilanjutkan selama enam bulan lagi untuk membantu rakyat yang sedang kesusahan ketika ini.
Tegasnya, kerajaan perlu mendengar rintihan tersebut dengan melanjutkan moratorium kerana ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan akibat Covid-19, justeru keadaan mereka ketika ini amat terbeban tanpa lanjutan penangguhan bayaran pinjaman bank.
“Ini pun nak lanjutkan moratorium duit ini bukan mereka nak dapat geran, duit mereka pinjam bukan hanya mereka pinjam bahkan juga faedah mereka sanggup bayar bukan hendak faedah dikecualikan tetapi moratorium pinjaman yang mereka mahu.
“Supaya dalam keadaan peniaga hadapi di akar umbi mereka bukanlah seperti kerajaan boleh isu sukuk bank negara boleh keluarkan pelbagai kaedah untuk meningkatkan supaya pinjaman kepada kerajaan dapat kita tingkatkan, pengusaha-pengusaha hanya mampu untuk meminjam duit daripada bank atau kalau syarikat berdaftar daripada bursa saham mereka boleh tingkatkan kewangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perbahasannya, Mohd. Shafie turut mencadangkan agar kerajaan juga membantu golongan M40 dengan memberikan moratorium bagi pinjaman perumahan di bawah RM500,000.
Katanya, cadangan tersebut bertujuan memastikan rakyat tidak kehilangan tempat tinggal disebabkan gagal membuat bayaran pinjaman disebabkan kehilangan punca pendapatan.
“Golongan M40 juga harus diberi perhatian, moratorium pinjaman yang hanya untuk B40 harus juga merangkumi golongan M40 tetapi bersyarat kepada jumlah pinjaman perumahan yang tidak melebihi RM500,000.
“Ini memastikan mereka tidak hilang tempat berteduh,” katanya. - thesabahtoday
Kommentarer