Kalau Tiada Angin, Masakan Pokok Bergoyang
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Dr. Maximus Ongkili menggesa Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak supaya tidak menghasut sentimen anti-Putrajaya.
Pada pandangan saya, Sabah mempunyai tiga pilihan terhadap persekutuan Malaysia. Pertama, untuk berpuas hati dengan layanan Kuala Lumpur terhadap Sabah, dari segi ekonomi, pembangunan dan keselamatan.
Kedua, untuk terus mendesak Kuala Lumpur supaya melihat Sabah ini sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia dan ini harus diterjemahkan dalam bentuk pembahagian hasil yang dikutip di Malaysia ini secara adil selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 – tuntutan ini sedang berlaku pada hari ini kerana secara kasarnya, #budget2022 tidak menunjukkan bahawa Sabah ini adalah rakan sekutu dalam pembentukan Malaysia.
Dan yang ketiga, sekiranya layanan terhadap Sabah itu masih tidak berubah maka tidak hairan rakyat di Sabah mahupun pemimpin Sabah tergerak untuk mengikuti Langkah Singapura yang keluar daripada Malaysia pada tahun 1965 – saya berharap perkara ini tidak akan berlaku.
Tindakan Presiden PBS, Dr. Maximus yang cuba untuk mempertahankan Kuala Lumpur jelas menunjukkan bahawa PBS tidak serius dalam hal menuntut hak Sabah. Sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah Sarawak, Dr. Maximus seharusnya lebih lantang bersuara untuk Sabah dan Sarawak. Ironinya, pada hari ini, beliau kelihatan lebih mempertahankan Kuala Lumpur.
Prinsip PBS yang sedemikian rupa mungkin menjadi salah satu faktor kenapa Kawasan Kota Marudu yang diwakili Dr. Maximus sejak puluhan tahun lamanya adalah antara 10 kawasan termiskin di Malaysia.
Lebih menyedihkan lagi, Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut, yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Dr. Maximus, yang juga baru dilantik sebagai Pengerusi KKIP Property Sdn. Bhd, mempunyai nada yang sama dengan Dr. Maximus iaitu seakan-akan mempertahankan Kuala Lumpur. Sebagai pemimpin muda, beliau seharusnya lebih berani dan bertenaga untuk bersuara untuk rakyat Sabah yang pada hari ini masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan dan ekonomi terutama di Kawasan pedalaman.
Maka tidak hairan apabila kenyataan PBS yang mempertahankan Kuala Lumpur, yang telah terbukti gagal memberi kemajuan yang sama rata terhadap Sabah itu menyebabkan “sentiment anti-Putrajaya” ini wujud, kerana Kalau Tada Angin, Masakan Pokok Bergoyang.
Sebagai belia negeri Sabah, saya ingin melihat perubahan dari segi pola pemikiran para pemimpin negeri dan negara pada masa hadapan, dan satu-satunya cara untuk perkara ini boleh dicapai adalah melalui perubahan pemimpin, tidak kira di blok kerajaan atau pembangkang.
Saya percaya dengan #undi18 yang akan dilaksanakan pada masa terdekat ini, sudah tiba masanya pemimpin baru dengan idea yang lebih baru diberi peluang untuk memimpin Sabah dan Malaysia.
Maxolvin Sintore
GEM UPKO Malaysia
Comments