Kampung Ujong Permatang Dipilih Sebagai Kampung Angkat SKM
4 Disember 2024
KUALA SELANGOR: Kampung Ujong Permatang, di sini dipilih sebagai kampung angkat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menerusi program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).
Ketua Pegawai Eksekutif SKM Datuk Rusli Jaafar berkata dalam meningkatkan keupayaan ekonomi kampung berkenaan, SKM telah menyerahkan surat kelulusan prapendaftaran penubuhan koperasi yang pertama di kampung berkenaan.
“Saya minta supaya jawatankuasa atau bakal lembaga koperasi yang bakal ditubuhkan di sini untuk melihat peluang-peluang yang boleh diterokai, kerana di sini lebih tertumpu kepada pertanian.
“Mungkin boleh lihat dari segi pusat pengumpulan hasil pertanian atau kedai pengguna yang boleh diuruskan secara koperasi...SKM akan bantu untuk memandu penubuhan koperasi di sini dan pastikan ia akan menjadi yang terbaik,” katanya ketika ditemui Bernama selepas merasmikan program Santuni MADANI Kampung Ujong Permatang di sini baru ini.
Beliau berkata kampung tersebut yang menempatkan seramai 740 penduduk dan 260 rumah telah diberikan penerangan dan maklumat mengenai kepentingan dan manfaat koperasi oleh pihak SKM Selangor.
“Sekarang apa yang perlu dilakukan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah untuk mengadakan mesyuarat agung dan pastikan kesemua dokumen dapat dihantar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
SKM dalam program baru-baru ini
turut mengadakan Jualan MADANI Koperasi (JMK) yang menawarkan diskaun sehingga 20% lebih rendah daripada harga pasaran bagi barang-barang keperluan harian dan barangan makanan seperti daging lembu, ayam dan sayur-sayuran, khusus dibawakan untuk dinikmati oleh penduduk dan kawasan sekitar.
Koperasi Keluarga Nadi Rizki Selangor Berhad, Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad, Koperasi Pesara Melayu Daerah Sabak Bernam Berhad dan Koperasi Pengusaha dan Pengilang Ubi Selangor Berhad (Koupang) adalah antara operator jualan yang dilantik pada program ini dengan jumlah insentif sebanyak RM30,000.
JMK juga merupakan salah satu inisiatif Kerajaan dalam mendepani isu kenaikan kos sara hidup masa kini.
Sehingga 30 November 2024, sebanyak 80 program JMK telah dilaksanakan dengan jumlah insentif yang telah diluluskan adalah sebanyak RM2.32 juta dan jumlah jualan yang direkodkan sebanyak RM8.41 juta.
Pelaksanaan program JKM ini telah memberi manfaat kepada 235,195 orang pengguna melalui barangan keperluan asas yang dijual oleh 254 operator jualan yang dilantik oleh SKM.
Suruhanjaya itu turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM48,550 bagi tujuan naik taraf Sekolah Rendah Agama Ujong Permatang, bagi kemudahan hampir 100 pelajar kampung tersebut.
Walaupun sumbangan yang diberikan bukanlah dalam jumlah yang besar tetapi manfaatnya dapat dirasai oleh anak-anak penduduk kampung dan limpahan ekonomi daripada kerja-kerja yang ditawarkan juga mengalir di dalam kawasan Kampung Ujong Permatang.
Program Santuni MADANI yang digarapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk.
Comments