Kanak-kanak 2 tahun maut diserang anjing liar
4 November 2024
SEMPORNA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tujuh bulan maut akibat diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Sungai Tohok, di sini semalam.
Mangsa, seorang warga tempatan, ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh penduduk kampung yang segera memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarganya sekitar jam 9 pagi.
Kanak-kanak malang itu kemudian dikejarkan ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Namun, difahamkan mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, pihaknya terkesan penularan video di media sosial berdurasi lapan saat memaparkan kanak-kanak terbaring dalam keadaan berbogel dan berlumuran darah serta terdapat kesan gigitan.
“Berkaitan kejadian itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna telah pun menerima laporan jam 10.33 pagi dan membuka kertas siasatan yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut semalam.
“Dalam kejadian itu, mangsa maut akibat diserang oleh anjing liar di kawasan kampung berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, bedah siasat telah dijalankan hari ini di Jabatan Forensik Hospital Besar Tawau.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam untuk tidak menyebarkan video kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Katanya, IPD Semporna akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan operasi anjing liar bagi menjamin keselamatan masyarakat setempat.
Comentarii