Kanak-kanak 4 tahun dilapor hilang di Tawau ditemukan lemas
21 September 2024
TAWAU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dilaporkan hilang kerana dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi sungai bersama bapanya di Kampung Ranggu, Batu 8, Jalan Apas, di sini petang semalam, ditemukan lemas pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin, berkata mayat Putri Jimar berjaya ditemui orang awam kira-kira jam 8 pagi pada jarak 800 meter dari lokasi asal mangsa dilaporkan hilang.
Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian malang itu pada jam 6.06 petang semalam menerusi talian MERS999.
"Sepasukan enam anggota bersama dua jentera segera dikerah ke lokasi dan tiba pada jam 7.24 petang bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa," katanya.
Operasi SAR semalam dilakukan dengan kaedah pencarian di permukaan bersama agensi lain dan orang awam pada radius dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Operasi itu turut dibantu polis dan penduduk kampung.
Operasi SAR semalam gagal menemui mangsa dan ditangguhkan pada jam 8.11 malam sebelum disambung semula jam 6.58 pagi tadi.
"Operasi SAR hari kedua dimulakan pada jam 6.58 pagi dengan kaedah pencarian di permukaan bersama agensi lain dan orang awam di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.
"Mangsa ditemui oleh orang awam pada jam 8 pagi pada jarak 800 meter dari lokasi asal mangsa dilaporkan lemas.
Pasukan bomba menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan susulan. Operasi ditamatkan pada jam 8.30 pagi," kata Jemishin dalam kenyataan hari ini.
Comments