Kassara Hydro Farm Terima Sumbangan untuk Kemajuan Pertanian Hydroponik
4 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Kassara Hydro Farm - EL Family yang mengusahakan penanaman sayur di Kampung Rangalau, Kota Belud, mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Pengusaha tanaman hidroponik berkenaan menerima sumbangan yang disampaikan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Juin Kolod.
Sumbangan berkenaan bertujuan untuk pembelian bateri solar yang akan digunakan dalam operasi ladang fertigasi mereka.
Pengurus Kassara Hydro Farm - EL Family, Larinson Ratiman@Raeiman berkata, perniagaan keluarga itu bermula pada tahun lalu.
Katanya, ia diperkenalkan menerusi program Bantuan Agromakanan yang dianjurkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
“Program ini bertujuan membantu pekebun kecil meningkatkan penghasilan dan pendapatan melalui bidang pertanian sebagai sumber tambahan kepada tanaman getah.
“Kami amat menghargai sumbangan ini kerana ia sangat membantu dalam meningkatkan kecekapan operasi ladang sayur sawi dan sayur salad hidroponik kami.
“Dengan adanya sistem solar, kami dapat mengurangkan kebergantungan kepada bekalan elektrik utama dan mengoptimumkan pengeluaran hasil pertanian,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, Juin berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Katanya, inisiatif berkenaan dapat memenuhi keperluan komuniti secara langsung selain selari dengan visi KUSKOP di bawah Dasar Pandang Ke Timur Negara yang menekankan kepentingan pembangunan rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Ewon sentiasa komited dalam menyokong usahawan tempatan serta komuniti pertanian kecil.
“Sumbangan ini bukan saja membantu meningkatkan produktiviti tetapi juga menggalakkan lebih ramai penduduk menceburi bidang pertanian moden seperti hidroponik,” katanya.
Sehubungan itu, Juin berharap menerusi sokongan berkenaan, Kassara Hydro Farm dapat memperluaskan operasi mereka dan menghasilkan lebih banyak produk pertanian berkualiti tinggi.
Katanya, ia sejajar dengan matlamat kerajaan dalam memperkukuh sektor pertanian sebagai salah satu sumber pendapatan utama masyarakat luar bandar.
Comments