Kastam Sabah rampas rokok, minuman keras RM3 juta
28 Oktober 2024
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas rokok dan minuman keras
seludup bernilai lebih RM3 juta dalam operasi selama lima hari bermula 26 September lalu di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah stor tidak bernombor di Jalan N.C Mogunting, Kampung Hubah, Penampang.
Dalam serbuan berkenaan, Kastam berjaya merampas 214,000 kotak rokok disyaki tidak dibayar cukai.
“Hasil siasatan awal, semua rokok pelbagai jenama berkenaan dianggarkan bernilai RM428,000 dan melibatkan cukai sebanyak RM2.86 juta.
“Siasatan juga mendapati, stor tidak berpenghuni berkenaan hanya dijadikan sebagai tempat penyimpanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Siti Mang berkata demikian pada sidang media di Menara Kastam Sabah, di sini, hari ini.
Menurutnya, operasi diteruskan lagi dengan serbuan di tiga lokasi berasingan di sekitar kawasan bandaraya Kota Kinabalu.
Katanya, serbuan bermula jam 8 malam itu berjaya merampas 34 karton minuman keras yang dianggarkan bernilai keseluruhan kira-kira RM5,200 termasuk cukai.
“Dalam serbuan ini, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki dan dua wanita tempatan berusia lingkungan 41 hingga 61 tahun,” katanya.
Sementara itu, Sitti berkata, serbuan kes ketiga dilakukan hasil maklumat risikan, Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu dengan bantuan Pasukan Cobra Zon Sabah.
Katanya, hasil serbuan, pasukan operai berjaya menahan sebuah lori yang membawa sejumlah minuman keras yang disyaki tidak dibayar cukai.
“Pemeriksaan lanjut di sekitar lokasi serbuan menemui dua lgi lori yang berisi muatan minuman keras jenis bir yang disyaki tidak berkastam.
“Semua pemandu dan kelindan terus ditahan bagi membantu siasatan lanjut manakala rampasan dibawa ke Pejabat Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Siti berkata, semua minuman keras yang dirampas adalah sebanyak 1,830 karton yang dianggarkan bernilai RM284,304.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai barang atau RM100,000.00 atau mana-mana jumlah yang lebih besar dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000.00.
“Pesalah juga boleh dipenjara bagi tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Comments